KHAIRULAZHAN positif Covid-19. FOTO FAM
KHAIRULAZHAN positif Covid-19. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Singapura: Hampir 90 peratus slot Khairulazhan Khalid bakal digantikan dengan penjaga gol lain.

Menurut pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, beliau terpaksa membuat pertukaran itu selepas sehingga kini belum ada jaminan pihak kesihatan Singapura membenarkan penjaga gol Selangor FC itu beraksi semula dalam saingan Piala AFF.

Katanya, selepas permohonan pertukaran penjaga gol dibenarkan penganjur iaitu Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), pihak pengurusan masih menunggu jaminan dari Kementerian Kesihatan Singapura yang masih tergantung.

Oleh sebab itu, dengan aksi penting berdepan Vietnam dan Indonesia semakin hampir, Cheng Hoe terpaksa menghantar pulang Khairulazhan dan penjaga gol baharu yang akan hadir nanti akan dimaklumkan selewatnya esok.

"Kita masih tunggu jaminan daripada pihak tuan rumah sini, sebab kita tak tahu adakah selepas habisnya kuarintin 10 hari dan keputusan ujian negatif, Yan (Khairulazhan) boleh bermain atau tak.

"Saya tak boleh tunggu dah, kerana permohonan AFF sudah diluluskan. Mereka (AFF) hanya tunggu kita untuk daftarkan pemain lain.

"Saya pula tak nak umum awal kerana kita masih tunggu jaminan dari pihak sini, sebab itu saya tidak mahu sebut lagi kerana tak mahu wujudkan spekulasi.

"Tapi kita dah tak cukup masa, jadi selewatnya esok kita akan bagi tahu siapa penjaga gol gantian itu dan kita harap pemain baharu itu akan cepat sesuaikan diri selepas liga sudah lama habis," katanya kepada Arena Metro di sini.

Sebelum ini, Khairulazhan dan Faisal Halim disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian calitan PCR di Lapangan Terbang Changi, Jumaat lalu.

Menerusi keputusan ujian yang dikeluarkan sehari selepas itu, dua pemain itu didapati positif dan diarahkan untuk diasingkan selama 10 hari.

Susulan itu, FAM membuat permohonan rasmi kepada AFF untuk menukar penjaga gol seperti mana peraturan pertandingan yang membenarkan, dan pemain yang digugurkan itu pula tidak boleh bersama pasukan selepas digantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:35 PM