PEMAIN skuad B-16 negara bergambar sebelum berlepas ke Jakarta, hari ini. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-16 negara bergambar sebelum berlepas ke Jakarta, hari ini. FOTO FB FAM
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Mentaliti juara menjadi pegangan ketua jurulatih skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara, Osmera Omaro yang tanpa ragu mensasarkan untuk menjuarai Piala AFF B-16 di Jogjakarta, Indonesia bermula Ahad ini.

Jelas Osmera, beliau cukup yakin itu adalah sasaran 'paling realistik' mengambil kira prestasi semasa barisan pemainnya yang berada pada tahap terbaik.

"Saya rasa sekiranya kita pergi ke sesuatu kejohanan, pastinya kita akan cuba capai keputusan paling terbaik dan realistik.

"Jadi saya rasa sasaran juara pada edisi kali ini adalah realistik dan boleh dicapai," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Jakarta, hari ini.

Jika ia benar-benar menjadi kenyataan, bermakna skuad negara akan memenangi kejohanan itu buat kali ketiga selepas pernah meraih kemenangan pada 2013 serta edisi terakhir 2019.

Osmera berkata, pencapaian 'skuad abang' iaitu pasukan senior bimbingan Kim Pan-gon mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 serta kejayaan skuad B-19 bimbingan Hassan Sazali Waras memenangi Kejuaraan B-19 AFF 2022, memberi aura cukup positif untuk anak buahnya.

"Semua kejayaan ini memberi inspirasi kepada pasukan saya dan kepada peminat bola sepak bahawa pasukan negara mampu mencapai sesuatu.

"Setakat ini, pasukan berada dalam situasi sangat baik dan keyakinan mereka cukup tinggi untuk menghadapi saingan kali ini," katanya.

Kejohanan Piala AFF B-16 kali ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Kemboja, Mnyamar dan Laos.

Pada edisi 2019, Malaysia menjuarai Piala AFF B-16 buat kali kedua selepas menewaskan tuan rumah iaitu Thailand 2-1 pada aksi final di Stadium IPE Chonburi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 1:16 PM