MOHD Saifuddin Abu Bakar. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Saifuddin Abu Bakar. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkan membantu mana-mana pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat skuad Harimau Malaya Mac ini bagi mendapatkan suntikan dos penggalak, sekali gus memberi perlindungan semaksimumnya buat pemain negara.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, cadangan berkenaan amat baik dan pihaknya sedia mempertimbangkan buat pemain yang belum mendapatkan suntikan itu sebelum berlepas ke Singapura nanti.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya bakal ke Singapura pada Mac ini bagi menghadapi dua aksi persahabatan dalam jendela aksi antarabangsa dengan menentang Filipina dan Singapura.

"Ia perkara yang baik dan kita boleh pertimbangkannya kerana keselamatan pemain keutamaan kita," katanya ketika dihubungi.

Langkah untuk memberi suntikan itu bukan baharu di mana badan induk itu pernah menganjurkan pemberian vaksin buat pemain kebangsaan pada April tahun lalu.

Sebelum ini, kem negara beberapa kali diserang jangkitan Covid-19 membabitkan pemain.

Bermula ketika saingan Piala AFF di Singapura pada Disember lalu dengan membabitkan pemain senior, masalah sama turut menghantui skuad bawah 23 (B-23) di Kemboja dua minggu lalu hingga menyebabkan pasukan kehilangan ramai pemain utama.

Kesemua kes itu berlaku di luar negara atau lebih tepat sebaik pasukan mendarat di Lapangan Terbang negara terbabit selepas ujian saringan kesihatan dilakukan, sedangkan prosedur operasi standard (SOP) sama yang dibuat sebelum berlepas didapati negatif.

Ujarnya lagi, FAM sentiasa mengigatkan pemain dan pegawai agar sentiasa mematuhi SOP setiap masa.

"Pemain dan pegawai duduk dalam gelembung sukan apabila latihan dilakukan di sini. Tapi apabila kita berada di luar negara, pasukan kena ikut peraturan di sana dan ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa sana.

"Tetapi kita sentiasa tekankan kepada pemain agar patuh dan ikut SOP setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 4:42 PM