FAISAL positif Covid-19. FOTO Bernama
FAISAL positif Covid-19. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat menjelang aksi pertama Piala AFF menentang Kemboja petang esok apabila dua pemain negara disahkan positif Covid-19.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, dua pemain itu adalah penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan pemain sayap, Faisal Halim yang kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga 10 hari.

"FAM mengesahkan bahawa dua pemain skuad Harimau Malaya ke Piala AFF di Singapura disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi.

"Dua pemain berkenaan iaitu Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak bergejala.

"Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain berkenaan bertukar status kepada negatif Covid-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini," katanya.

Menerusi perkembangan itu, ini bermakna Tan Cheng Hoe bakal kehilangan dua pemain untuk sekurang-kurangnya tiga aksi menentang Kemboja, Laos dan Vietnam.

Jelas Saifuddin lagi, skuad negara bagaimanapun tetap dibenarkan beraksi dalam kempen kali ini meskipun dua pemain negara didapati positif.

"Biarpun tanpa dua pemain ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tetap akan meneruskan perlawanan pertama Kumpulan B berdepan Kemboja di Stadium Bishan, petang esok dengan baki pemain lain yang ada selepas kesemua mereka diuji negatif pada ujian susulan yang telah pun dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 8:54 PM