Pemain KL City meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor. FOTO Hazreen Mohamad
Pemain KL City meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor. FOTO Hazreen Mohamad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kebangkitan yang diharapkan Selangor FC dalam aksi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia musnah selepas Kuala Lumpur City FC (KL City) melakar kemenangan 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Gol tunggal KL City itu disumbangkan penjaring terbanyak Piala Malaysia ketika ini, Romel Morales untuk memastikan pasukannya mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-0 selepas turut merakam kemenangan 2-0 di Kelana Jaya, Ahad lalu.

Kejayaan menundukkan 'jiran tetangga' itu turut meranapkan impian Selangor untuk menambah koleksi Piala Malaysia ke-34 dengan sebaliknya KL City berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan trofi berprestij itu selepas menjulangnya secara hatrik pada 1987, 1988 dan 1989.

Skuad Red Giants yang perlu mencari dua gol untuk mengikat agregat hampir mendahului seawal minit kedua menerusi percubaan tonggak import dari Myanmar, Hein Htet Aung namun percubaannya sekadar mengegar tiang gol tuan rumah.

Pelawat terus menekan dan Aliff Haiqal hampir menewaskan Kevin Ray Mendoza di minit ke-14 selepas tonggak tengah itu dengan berani membelah benteng KL City namun sempat di tampan penjaga gol biarpun pada awalnya tangkapannya sedikit terlepas.

Ketika Selangor rancak menyerang, Morales hampir menghukum kelekaan benteng lawan tapi mujur Ashmawi Yakin sempat menghalang percubaan penyerang dari Colombia itu.

Ketumpulan bahagian depan Selangor nyata tidak digemari Karsten Neitzel dan jurulatih dari Jerman itu terus membuat pertukaran drastik pada awal babak kedua dengan memasukkan Danial Asri dan mengeluarkan Shahrel Fikri.

Sebaliknya skuad Warga Kota terlebih dulu menemui gol hasil sentuhan Morales di minit 50 selepas dia memanfaatkan tandukan Paulo Josue sekali gus ia adalah gol ke-10 peribadinya sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kelebihan tiga gol secara agregat itu jelas memberi kelebihan buat tuan rumah yang terus mempertahankan kedudukan itu sehingga wisel penamat untuk menempah tiket ke separuh akhir dan akan menentang Melaka United yang turut mencatat kemenangan dalam satu lagi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 11:12 PM