Agensi

London: Bayaran gaji Manchester United meningkat hampir 25 peratus selepas kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford.

Ronaldo kembali ke United selepas 12 tahun dengan gaji £550,000 (RM3 juta) seminggu dan pembelian Raphael Varane, Jadon Sancho serta Tom Heaton menyumbang peningkatan mendadak bil gaji pemain.

Kedatangan Ronaldo dan tiga lagi pemain pada musim panas menyebabkan United perlu menambah lagi £1.3j (RM7.32j) seminggu, menurut laporan kewangan terkini kelab.

Jumlah bayaran gaji tiga bulan sehingga 30 September melonjak £88.5j (RM498.33j), meningkat £16.6j (RM93.47j) iaitu 23.1 peratus.

Ronaldo penyumbang utama peningkatan jumlah itu berdasarkan gajinya yang mencipta rekod kelab selain pemain berpendapatan paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana sejak kembali semula pada Ogos lalu.

Naib Pengerusi Eksekutif Ed Woodward berkata kejayaan di atas padang kekal misi utama kelab dan pengendali yang semakin tertekan, Ole Gunnar Solskjaer fokus dengan sasaran itu.

"Ketika laporan kewangan hari ini turut terkesan dengan pandemik, keutamaan kami tetap dengan kejayaan di atas padang," kata Woodward.

"Pengurus, pemain dan semua orang di kelab tetap komited mencapai objektif ditetapkan."

Keseluruhannya, jumlah keuntungan United meningkat 16.1 peratus kepada £126.5j (RM712j) selepas kehadiran semula penonton menyaksikan perlawanan harian menyumbang £18.8j (RM105.86j) berbanding hanya £1.7j (RM9.57j) tahun lalu ketika berlangsung dalam stadium tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 9:16 AM