RONALDO (kiri) memeluk Rooney sambil diperhatikan Neville dan Darren Fletcher ketika beraksi bersama Manchester United, sebelum ini. FOTO Agensi
RONALDO (kiri) memeluk Rooney sambil diperhatikan Neville dan Darren Fletcher ketika beraksi bersama Manchester United, sebelum ini. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo menegaskan Wayne Rooney dan Gary Neville bukan kawannya selepas kritikan terbaru mereka terhadap penyerang Manchester United itu.

Pemain antarabangsa Portugal itu berkata demikian ketika temu bual rancangan televisyen dikendalikan Piers Morgan, minggu lalu dan sedikit demi sedikit perbualan satu sama satu itu didedahkan sebelum disiarkan sepenuhnya minggu ini.

Menerusi segmen pada Ahad lalu itu, Ronaldo menyatakan kekecewaan terhadap kritikan bekas rakan sepasukan di United, Rooney apabila bekas bos Derby County itu menyatakan tindakan terbaru Ronaldo itu tidak boleh diterima.

Ronaldo membalas semula kritikan itu dengan mendedahkan mengenai penampilan Rooney.

Ketika ditanya kenapa rakan sepasukannya itu mengkritiknya, Ronaldo berkata: "Mungkin kerana kariernya berakhir pada usia 30-an. Saya pula masih bermain pada tahap tertinggi.

"Saya tidak katakan saya lebih baik berbandingnya, yang sebenarnya memang betul, tapi..."

Di hujung temu bual itu, Ronaldo menyatakan dia tidak berkawan dengan Rooney atau Neville dan mendakwa kedua-duanya mengambil kesempatan terhadap profil dirinya.

"Memang sukar mendengar kritikan dan kata-kata negatif mengenai orang yang bermain bersama anda. Sebagai contoh, Gary Neville. Mereka bukan kawan saya," kata Ronaldo.

"Memang mudah untuk mengkritik. Saya tidak tahu jika anda ada kerja di televisyen dan mesti mengkritik orang lain untuk menjadi terkenal. Saya benar-benar tidak faham.

"Saya fikir mereka mengambil kesempatan (terhadap profil saya) kerana mereka bukan bodoh. Memang sukar apabila melihat orang yang berada dalam bilik persalinan bersama anda mengkritik anda dengan cara begitu."

Penyokong United kerap melakukan protes terhadap keluarga Glazers sejak beberapa tahun lalu dan Ronaldo menegaskan pemilik itu tidak menghiraukan mengenai kelab itu.

Ronaldo berkata: "Pemilik kelab, keluarga Glazer tidak hiraukan mengenai kelab. Maksud saya, sukan profesional.

"Seperti yang semua tahu, Manchester adalah kelab pemasaran dan mereka mendapat wang daripada pemasaran. Pada pendapat saya, mereka tidak menghiraukan mengenai sukan."

Ronaldo menyatakan peminat sepatutnya tahu kebenaran mengenai kelab mereka dan sebab dia memutuskan untuk mengikuti temu bual itu.

Ronaldo menambah: "Penyokong selalunya betul dan mereka patut tahu perkara sebenar. Pemain mahukan yang terbaik untuk kelab. Saya mahukan yang terbaik untuk kelab. Itu sebabnya saya datang ke Manchester United, itu sebabnya saya cintakan kelab ini.

"Ada sesuatu di dalam kelab ini yang tidak akan membantu Manchester mencapai tahap tertinggi seperti City, Liverpool dan kini Arsenal."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 9:08 AM