Agensi

London: Cristiano Ronaldo memberi amaran akan mendedahkan perkara sebenar berkaitan isu perpindahan dengan Manchester United menerusi satu temu bual 'dalam masa beberapa minggu'.

Penyerang Portugal itu terdesak untuk meninggalkan Old Trafford, musim panas ini dan mahu menyertai kelab yang boleh memberikan aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo masuk sebagai pemain gantian ketika Manchester United tewas perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Brighton, sebelum disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika dibelasah 0-4 di Brentford.

Menurut laporan Sportsmail, United menyatakan Ronaldo tidak akan dijual pada minggu terakhir jendela perpindahan pemain.

Tetapi, pemain berusia 37 tahun itu menjawab di akaun Instagram (IG) peminat dengan mendakwa media menipu.

Ronaldo berkata, dia menyimpan sejumlah artikel mengenai dirinya dan daripada 100 yang disiarkan, hanya lima sahaja yang tepat.

Hanya tinggal dua minggu lagi sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, yang menyaksikan Ronaldo akan menyatakan pendiriannya.

Menerusi mesej itu, Ronaldo menulis: "Mereka akan tahu perkara sebenar menerusi temu bual dalam beberapa minggu. Media menipu.

"Saya ada buku nota dan dalam tempoh beberapa bulan lalu, daripada 100 berita yang dibuat mengenai saya, hanya lima saja betul. Bayangkan bagaimana keadaan itu. Kekal kepada tip itu."

Ronaldo terlepas sebahagian besar persediaan pramusim United berikutan spekulasi mengenai masa depannya sambil kelab menyatakan dia tidak hadir kerana masalah peribadi.

United memulakan musim baharu EPL dengan aksi mengecewakan apabila tewas kepada Brighton dan Brentford dan Ronaldo bermain sepenuh masa ketika dimalukan Brentford.

Selepas menyertai semula United tahun lalu, Ronaldo menjaringkan 24 gol dalam semua kejohanan.

Minggu ini, Ronaldo dilaporkan antara pemain senior di United yang menggesa pihak atasan kelab supaya melabur untuk mendapatkan pemain baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 1:02 PM