KANE penjaring prolifik England.
KANE penjaring prolifik England.
Agensi

London: Harry Kane berharap dapat memecahkan rekod jaringan England milik Wayne Rooney di Piala Dunia tahun ini serta membantu Three Lions mengatasi pencapaian separuh akhir pada Piala Dunia 2018.

Kane meledak 49 gol dalam 69 penampilan bersama England selepas menyamai catatan jaringan Bobby Charlton ketika menewaskan Switzerland 2-1 dalam aksi persahabatan di Wembley pada Mac lalu.

Penyerang Tottenham terbabit hanya kurang empat gol di belakang rekod Rooney walaupun beraksi kurang 50 perlawanan antarabangsa daripada legenda Manchester United itu.

Kane mempunyai purata jaringan 0.71 setiap perlawanan untuk negaranya berbanding Rooney 0.45 dan hanya masa menentukan kapten Gareth Southgate itu mencipta sejarah sebagai penjaring terhebat dalam sejarah pasukan kebangsaan.

Bercakap dalam rancangan Tonight Show, bintang Spurs itu gembira dengan kemajuan England selepas tewas pada separuh akhir Piala Dunia 2018 dengan dia kini menyasarkan untuk mengatasi rekod Rooney di Qatar.

"Saya gembira," kata Kane kepada pengacara Jimmy Fallon. "Pada Piala Dunia terakhir kami mara ke separuh akhir, itu kemaraan paling jauh dalam tempoh 30 tahun kejohanan dan kali ini kami mempunyai jurulatih dan pasukan yang sangat bagus.

"Kami semakin mantap menjelang Piala Dunia di Qatar dan saya berharap dapat memintas rekod jaringan di sana."

Kane malah boleh melakukannya sebelum kejohanan apabila England berdepan empat aksi Liga Negara-Negara bulan depan termasuk menentang Jerman dan Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 10:24 PM