PEMAIN Kuching City FC Yuki Tanigawa menghalang kemaraan pemain JDT Fernando Forestieri. FOTO Bernama
PEMAIN Kuching City FC Yuki Tanigawa menghalang kemaraan pemain JDT Fernando Forestieri. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuching City FC, Aidil Shahrin Sahak menganggap pertemuan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam sebagai ujian terakhir sebelum berdepan PDRM FC pada aksi final Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu ini.

Aidil Shahrin berkata, walaupun tewas 0-2, ia memberi pengalaman bermakna buat pemain untuk memperbaiki kesilapan dan menambah baik mutu permainan sebelum aksi final pertama itu yang dilabel sebagai mencabar apabila berdepan skuad kendalian Datuk Yunus Aliff.

Katanya, barisan pemain The Cats sudah menunjukkan persembahan terbaik apabila hanya tewas dengan jaringan kecil ketika bertandang di kubu kuat JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

"Kita tahu banyak pasukan yang bergelut menentang JDT di sini dan kebanyakannya bolos dengan jaringan besar, jadi saya anggap pemain sudah melakukan tugas dengan baik dan hanya dibolosi gol berkualiti.

"Pada babak kedua, kami cuba menambah menambah baik corak permainan dan beraksi dengan teratur bahkan cuba melancarkan peluang ke arah kubu lawan.

"Biarpun tewas, saya lihat ini sebagai keputusan positif dan pertemuan ini membuka mata kami untuk memperbaiki kelemahan sebelum melangkah ke final (Piala Cabaran).

"Kebimbangan saya adalah pemain mengalami kecederaan dan dilayangkan kad kuning, sebab itu saya merehatkan Abu Kamara dan Alif Hassan kerana masing-masing mengutip lima kad kuning dan saya enggan mengambil risiko kehilangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 2:44 PM