NEITZEL mengakui paling penting baginya ialah Selangor beraksi secara berpasukan. FOTO Ihsan Selangor FC
NEITZEL mengakui paling penting baginya ialah Selangor beraksi secara berpasukan. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel memuji persembahan kesemua pemainnya yang berjaya meraih tiga mata pertama dalam aksi sulung Liga Super dengan menewaskan Sri Pahang FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Neitzel berkata, meskipun tonggak tengahnya, Oliver Buff mencetak dua gol dalam aksi itu, namun beliau beranggapan kemenangan terbabit adalah hasil kerjasama berpasukan daripada penjaga gol hingga penyerang.

"Tidak mudah sebenarnya hari ini (malam tadi), namun Oli (Oliver Buff) beraksi dengan baik, tetapi apa yang lebih penting bagi saya adalah kami beraksi secara berpasukan, itu yang mustahak.

"Ya, Oli menjaringkan dua gol, tetapi pemain-pemain lain juga melaksanakan tugas dengan baik, itu yang lebih utama.

"Semangat berpasukan semua 20 pemain kami hari ini sangat bagus dan ini amat penting untuk masa depan kami," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan.

Menerusi kejayaan itu, skuad Red Giants kini memimpin carta Liga Super dengan kelebihan jaringan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC dan Peneng FC yang masing-masing turut merekodkan kemenangan pada aksi pertama liga.

Jelas jurulatih berusia 53 tahun dari Jerman itu, beliau yakin jentera serangannya akan tampil lebih menyengat dalam beberapa aksi berikutnya terutama pemenang kasut emas Liga Malaysia (Liga M) musim lalu, Ifedayo Olusegun.

"Pastinya pemain-pemain memerlukan masa untuk mempamerkan aksi berbeza, mungkin hari ini adalah Oli namun jangan lupa dengan Ifedayo. Dia memegang anugerah kasut emas sebelum ini.

"Kebiasaannya dia (Ifedayo) melakukan secara berseorangan tetapi hari ini dia bergandingan dengan Alif Haikal. Ini adalah satu petanda yang amat baik dan saya sangat gembira serta yakin untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Selepas ini Selangor FC akan meneruskan kempen dengan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menentang satu lagi pasukan handalan iaitu Terengganu FC pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 1:59 PM