Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengatasi pemain Osasuna dalam aksi La Liga. FOTO AFP
Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengatasi pemain Osasuna dalam aksi La Liga. FOTO AFP
AFP

Vallecas, Sepanyol: Real Madrid kembali berada di puncak carta La Liga sekalipun terikat tanpa jaringan di Osasuna, tetapi Barcelona jatuh di tempat kesembilan selepas tewas 0-1 kepada Rayo Vallecano, dengan Radamel Falcao menjaringkan gol kemenangan.

Cubaan Karim Benzema pada babak kedua terkena palang gol di Santiago Bernabeu tetapi Osasuna mungkin dapat memenangi perlawanan dengan Kike Garcia terlepas peluang terbaik menjaringkan gol apabila rembatan dari jarak jauh terkena tiang gol.

Madrid melangkaui Sevilla, Real Betis dan Real Sociedad - kesemuanya memungut 21 mata - dengan perbezaan jaringan sementara Osasuna berada di tempat keenam selepas meneruskan permulaan yang baik musim ini.

"Saingan La Liga sangat sengit, banyak pasukan di sana. Saya tak fikir perlu mendapat 100 mata untuk memenanginya musim ini," kata Carlo Ancelotti.

Pemain berusia 35 tahun, Falcao mencuri tumpuan di Rayo selepas meledak gol keempat dalam enam perlawanan buat kelab barunya itu dan pastinya ia kenangan manis selepas berjaya mengatasi Barca, di mana kali terakhir dia berjaya menjaringkan gol ke atas kelab itu pada 2013.

Memphis Depay terlepas peluang menyempurnakan penalti ketika permulaan misteri Barca pada musim ini di bawah kendalian Ronald Koeman menunjukkan satu lagi aksi buruk pasukan itu.

Selepas tewas aksi Clasico di laman sendiri kepada Real Madrid, Ahad lalu, Barcelona kini berada di tangga ke sembilan La Liga, enam mata ketinggalan dengan kelompok pasukan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 8:35 AM