MESSI
MESSI
AFP

Madrid: Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar masing-masing menjaringkan gol apabila Barcelona melupakan kehilangan Sergio Busquets akibat kecederaan dan kekal dua mata di belakang pendahulu La Liga Real Madrid hasil kemenangan 4-0 ke atas Eibar, awal pagi semalam.

Sevilla memisahkan kedua-dua gergasi bola sepak Sepanyol itu di tempat kedua, selepas bangkit dua kali untuk menewaskan pasukan tercorot Osasuna 4-3.

Bagaimanapun, Real Madrid turut mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding pasukan lain.

Kunjungan Barca ke Basque Country baru saja memasuki minit kelapan apabila Busquets terpaksa diusung keluar kerana kecederaan ligamen buku lalu selepas dikasari Gonzalo Escalante yang tidak dikenakan sebarang hukuman.

“Berita baik mengenai Sergio Busquets adalah kecederaan itu tidak seteruk yang kami sangka,” kata pengurus Barca Luis Enrique.

Pelawat tidak senang duduk buat seketika apabila Marc-Andre ter Stegen berjaya menghalang Adrian Gonzalez daripada memberikan kejutan buat Eibar di Stadium Ipurua yang mempunyai kapasiti 6,200 penonton.

Bagaimanapun, kejutan yang diharapkan tidak berpanjangan sebaik Denis Suarez, yang menggantikan Busquets, meledak jaringan sulung buat Barca selepas setengah jam.

Neymar gagal menyempurnakan peluang satu lawan satu dan percubaan Suarez pula terkena palang apabila Barca mensia-siakan banyak peluang untuk menguasai perlawanan sebelum rehat.

Bagaimanapun, Messi menggandakan jaringan mereka enam minit selepas rehat apabila menyambut hantaran Suarez untuk gol ke-28 daripada 26 perlawanan musim ini.

Suarez pula menyamakan kedudukan sebagai penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan 15 gol apabila berjaya merampas bola dari Florian Lejeune sebelum merembat ke gawang 22 minit sebelum tamat.

Neymar tidak pernah menjaringkan gol menerusi aksi terbuka sejak Oktober lalu, namun berjaya menamatkan kemarau itu dengan meleret masuk hantaran pendek Aleix Vidal pada minit terakhir.

“Keputusan positif bermakna semuanya berjalan lancar, pemain mempunyai keyakinan,” kata Enrique selepas kemenangan keempat berturut-turut.

“Namun, kami masih jauh daripada kedudukan yang kami ingini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:18 AM