MBAPPE berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika menumpaskan Angers 2-1. FOTO EPA
MBAPPE berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika menumpaskan Angers 2-1. FOTO EPA
AFP

Paris: Kylian Mbappe menyempurnakan penalti yang diputuskan melalui Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk membolehkan Paris Saint Germain (PSG) yang kehilangan Lionel Messi dan Neymar menang 2-1 ke atas Angers dalam saingan Ligue 1.

PSG terpaksa bangkit dari ketinggalan, apabila tandukan Danilo Pereira menghadiahkan gol penyamaan pada pertengahan separuh masa kedua selepas Angelo Fulgini meletakkan pasukan pelawat di depan di Parc des Princes.

Mbappe kemudiannya menyudahkan sepakan penalti tiga minit sebelum tamat selepas bola dikesan terkena tangan pertahanan Angers, Pierrick Capelle selepas pengadil merujuk VAR.

Selepas menumpaskan Rennes pada perlawanan terakhir sebelum rehat perlawanan antarabangsa, pasukan PSG yang dibimbing Mauricio Pochettino sekarang sudah memenangi sembilan daripada 10 perlawanan Ligue 1 musim ini dan sembilan mata mengatasi Lens di kedudukan kedua.

Kemenangan itu, yang menyaksikan PSG berhak meraihnya berdasarkan aksi keseluruhan yang seimbang, hadir tanpa bintang Amerika Selatan kerana perlu bermain di kelayakan Piala Dunia.

Messi, Angel Di Maria dan Leandro Paredes ketiga-tiganya beraksi ketika Argentina menang 1-0 ke atas Peru di Buenos Aires, manakala Neymar dan Marquihos berada dalam skuad Brazil yang menumpaskan Uruguay 4-1 di Manaus.

"Kami kehilangan 80 hingga 90 peratus pemain ketika rehat perlawanan antarabangsa namun pemain yang jarang diturunkan berusaha keras dan ia sangat hebat apabila meraih tiga mata.

"Kami tahu Kylian adalah pemain yang hebat, salah seorang yang terbaik di dunia dan dia membuktikan kemampuan ketika pasukan memerlukannya," kata Pochettino.

PSG berharap dapat memiliki semula bintang Amerika Selatan apabila mereka kembali pulang untuk berdepan RB Leipzig Rabu ini dalam saingan Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 10:03 AM