MAURICIO Pochettino berdepan tugas berat. FOTO AFP
MAURICIO Pochettino berdepan tugas berat. FOTO AFP
AFP

Paris: Ketibaan Lionel Messi di Paris Saint-Germain (PSG) menyaksikan kelab itu mempunyai barisan jentera serangan cukup digeruni dan kini jurulatih, Mauricio Pochettino berdepan tekanan untuk memastikan kejayaan di atas padang seperti yang diinginkan pemilik kelab berkenaan.

Bermakna mereka mesti memenangi Liga Juara-Juara, kejohanan yang menyaksikan PSG melangkah ke pentas final dan separuh akhir pada dua edisi terakhir.

Ia juga bermakna PSG harus memenangi semula Ligue 1 selepas Lille menewaskan mereka musim lalu. Bayangkan jika pasukan dibarisi Messi, Neymar dan Kylian Mbappe gagal memenangi Ligue 1?

"Kami tidak berselindung bahawa itu adalah objektif utama," kata Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi ketika ditanya mengenai keinginan untuk memenangi Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun beliau kemudian memberitahu ia 'bukanlah satu kewajipan' di sebalik ketibaan pemenang Ballon d'Or sebanyak enam kali itu yang dilaporkan menerima gaji sebanyak 35 juta euro (RM174 juta) setahun.

"Kami mempunyai pasukan hebat tetapi kami belum memenangi apa-apa lagi," kata Nasser.

PSG menjadi satu-satunya destinasi pilihan Messi selepas gagal dalam rundingan kontraknya baharunya bersama Barcelona.

Messi sendiri mengakui Pochettino antara penyebab utama dia mengambil keputusan berhijrah ke PSG.

"Sebaik rundingan bermula saya bercakap dengan dia. Saya sudah mengenalinya sejak sekian lama," kata Messi mengenai Pochettino yang juga berasal dari Argentina dan memulakan kariernya di Newell's Old Boys dekat bandar Rosario.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 8:43 AM