AKSI Messi (kanan) ketika bertemu Saint-Etienne. FOTO AFP
AKSI Messi (kanan) ketika bertemu Saint-Etienne. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Saint-Etienne 3-1 pada aksi Ligue 1 semalam dengan Lionel Messi menjadi watak penting ketiga-tiga gol itu.

Perlawanan itu juga menyaksikan penampilan pertama pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos manakala Neymar dikeluarkan kerana mengalami kecederaan buku lali.

Keputusan itu menyaksikan PSG mengumpul 40 mata, berkelebihan 12 mata berbanding pasukan di tangga kedua, Rennes yang menewaskan Lorient 2-0 untuk kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan.

"Saya gembira dengan prestasi keseluruhan pasukan dan usaha daripada semua pemain terutama Lionel Messi yang membantu kami memenangi perlawanan ini," kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

Saint-Etienne mendahului permainan apabila Deni Bouanga melepasi perangkap ofsaid dan menewaskan Gianluigi Donnarumma pada minit ke-23.

Bendera ofsaid dinaikkan tetapi ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan gol berkenaan.

Tuan rumah, menghuni tangga kedua tercorot liga tetapi hadir dengan dua kemenangan berturut-turut, tampak lebih menguasai permainan dalam cuaca sejuk dan bersalji itu.

Namun prestasi mereka terjejas selepas insiden kad merah ke atas Timothee Kolodziejczak yang mengasari Kylian Mbappe.

PSG menyamakan kedudukan menerusi tandukan Marquinhos dan Angel Di Maria meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-70 sebelum Marquinhos memastikan kemenangan di masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:53 AM