V ANNIL baharu saja menyertai pasukan di Ulaanbaatar, Mongolia hari ini selepas dia diterbangkan terus dari Jerman semalam. FOTO FAM
V ANNIL baharu saja menyertai pasukan di Ulaanbaatar, Mongolia hari ini selepas dia diterbangkan terus dari Jerman semalam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tidak perlu pertikaikan pemilihan Annil Vigneswaran kerana barisan kejurulatihan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara sudah lama mengikuti rapat perkembangan pemain berpangkalan di Jerman itu.

Jelas pengendali skuad B-23, Brad Maloney, beliau menolak dakwaan negatif segelintir pihak yang menuduhnya membuat keputusan silap dengan memanggil Annil tanpa perlu menjalani latihan di Kuala Lumpur.

"Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya sudah lama memantau perkembangan dan prestasinya. Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini."

Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun lalu dan dia dilihat sebagai pemain berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau.

"Annil kemudian pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.

"Tapi sejakitu, kami sentiasa memantau perkembangan prestasinya di Jerman dan berdasarkan video dan maklum balas diterima, cukup positif.

"Keputusan sudah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini," katanya.

Sebelum ini, timbul rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu khususnya netizen yang mempertikaikan keputusan Maloney menyenaraikan Annil.

Skuad negara ketika ini berada di Mongolia bagi mengharungi kempen Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 di mana, Malaysia akan turun bertemu Laos Isnin ini, diikuti tuan rumah dan Thailand selepas itu.

Juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan akan layak automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 9:21 PM