Brad Maloney (kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan skuad B-20 negara. FOTO FAM
Brad Maloney (kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan skuad B-20 negara. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad Bawah 20 tahun (B-20) akan diuji menerusi dua perlawanan persahabatan pada hujung minggu ini sekali gus memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menambat hati barisan kejurulatihan kelak.

Pengendali skuad B-20 Brad Maloney berkata, dua perlawanan persahabatan itu membabitkan pasukan Liga Perdana iaitu Negeri Sembilan dan skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)- Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, walaupun kebanyakan pemain tidak bersama lebih daripada tempoh enam bulan namun mereka mempamerkan aksi yang memuaskan terutama membabitkan beberapa muka baharu dalam pasukan.

Katanya, perlawanan persahabatan terbabit juga akan menjadi medan kepada barisan kejurulatihan untuk memilih senarai akhir pemain yang akan dibawa ke saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 (B-23) tahun di Ulaanbaatar, Mongolia.

"Perlawanan persahabatan itu adalah peluang terbaik bagi pemain terutama kepada mereka yang kali pertama dipanggil menyertai kem latihan untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Ada antara pemain boleh dikatakan lebih enam bulan tidak bersama namun prestasi mereka sentiasa di pantau barisan kejurulatihan.

"Oleh itu, perlawanan persahabatan yang dirangka untuk mereka menjadi kayu pengukur bagi menilai prestasi pemain kelak," katanya.

Terdahulu, kem latihan pusat Fasa 1 dijadual berlangsung selama sembilan hari yang bermula semalam sehingga 7 September ini.

Panggilan ke kem latihan itu sebagai persiapan awal menjelang saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

Untuk rekod, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah Mongolia, Laos dan Thailand di mana juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:36 PM