Brad Maloney (tengah) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO File NSTP
Brad Maloney (tengah) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 20 (B-20) tahun negara mampu menarik nafas lega apabila kekal berada dalam Kumpulan J dalam kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang dijadual bermula dari 27-31 Oktober ini.

Malah, tiga pencabar dalam kumpulan itu juga kekal dengan dua daripadanya adalah pesaing serantau iaitu Thailand dan Laos serta Mongolia untuk bakal menjadi tuan rumah untuk aksi Kumpulan J.

Menerusi undian semula yang dilakukan AFC ekoran tindakan Korea Utara menarik diri, menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney itu berjaya mengelak bertemu Jepun, Korea Selatan ataupun Australia.

Ia sebaliknya menyaksikan Hong Kong dari Kumpulan I tidak bernasib baik apabila diundi sekumpulan dengan Jepun dan Kemboja dalam Kumpulan K.

Ini bermakna, Maloney akan meneruskan persiapan pasukan di mana kem latihan pusat terakhir dijangka diadakan di negara Wilayah Tibet sebelum pusingan kelayakan bermula.

Arena Metro sebelum ini melaporkan, Maloney merancang untuk membawa anak buahnya sama ada ke Nepal, China atau Mongolia bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Mongolia.

Berdasarkan semakan ramalan kaji cuaca, ibu kota Ulaanbaatar di Mongolia dijangka mengalami cuaca sejuk yang boleh turun ke paras negatif dari 5 darjah celsius ke -5 darjah celsius.

Untuk rekod, kali terakhir skuad muda negara layak ke pusingan akhir adalah pada kempen 2018 di mana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya membuat kejutan mara hingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

Rentak cemerlang itu bagaimanapun gagal diteruskan pada edisi 2020 apabila terkandas seawal pusingan kelayakan selepas sekadar muncul naib juara Kumpulan J di belakang China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:55 PM