Aksi pelatih B-23 (tengah) cuba dihalang pemain Projek FAM-MSN dalam aksi persahabatan. FOTO Ihsan FAM
Aksi pelatih B-23 (tengah) cuba dihalang pemain Projek FAM-MSN dalam aksi persahabatan. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persaingan merebut tempat dalam skuad bawah 23 (B-23) tahun negara cukup sengit apabila masing-masing cuba memikat perhatian pengendali pasukan, Brad Maloney pada aksi persahabatan terakhir menentang skuad Projek FAM-MSN di Kompleks Sukan PKNS, petang semalam.

Aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu adalah yang kedua buat anak didik Maloney sepanjang kem latihan pusat fasa 1 yang berakhir hari ini sebagai persiapan untuk Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

Maloney yang berasal dari Australia menjelaskan, kesemua pemain diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan dan beliau nyata berpuas hati dengan prestasi pemain.

Malah, beliau juga agak sukar untuk membuat pilihan bagi memilih pemain untuk di bawa ke fasa kedua untuk digabungkan dengan beberapa bintang muda lain yang tidak dipanggil kali ini seperti penyerang KV Kortrijk di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Hanapi dari Johor Darul Ta'zim, Mukhairi Ajmal dari Selangor FC dan ramai lagi.

"Ada perkembangan positif daripada aksi itu (persahabatan dengan skuad Projek FAM-MSN). Ramai pemain yang mula mempamerkan permainan sebenar, di mana masing-masing bersaing secara sihat untuk tersenarai dalam skuad terakhir ke kelayakan nanti.

"Ada juga pemain beraksi mantap dalam dua-dua perlawanan persahabatan (sebelum ini menentang Negeri Sembilan FC) dengan menterjemahkan apa yang dilakukan dalam latihan," katanya.

Jelas jurulatih berusia 49 tahun itu, beliau bercadang untuk memanggil segera pemain pada latihan pusat fasa kedua sebaik saingan Piala Malaysia berakhir bulan depan.

"Kami akan panggil semula pemain selepas berakhirnya musim ini (saingan Piala Malaysia) secepat mungkin, di mana kelompok ini mungkin dikekalkan untuk menghadapi persiapan terakhir yang akan berlatih di sini terlebih dulu, dan kemudian meneruskan latihan di luar negara sebelum ke Mongolia," katanya yang pernah beraksi buat skuad kebangsaan Socceroos dari 1998-2000.

Pada pusingan kelayakan itu nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah, Mongolia, Laos dan Thailand.

Juara kumpulan dari setiap 11 kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir pada tahun depan di Uzbekistan, sementara empat naib juara terbaik keseluruhan turut layak untuk melengkapkan 16 pasukan bersama tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 10:52 PM