PEMAIN Milan sedia memberikan aksi terbaik menjelang aksi pembukaan UCL. FOTO AFP
PEMAIN Milan sedia memberikan aksi terbaik menjelang aksi pembukaan UCL. FOTO AFP
AFP

Milan: AC Milan kembali ke Liga Juara-Juara (UCL) minggu ini selepas sekian lama menanti dan akan berkunjung ke Liverpool awal pagi Khamis bagi memburu kejayaan besar dalam saingan peringkat Eropah.

Kedua-dua pasukan mengumpul 13 trofi di peringkat Eropah dan bagi saingan di Anfield, The Reds kini bergelar antara pasukan paling digeruni di benua berkenaan di bawah kendalian Jurgen Klopp apabila menang UCL pada 2019.

Kelab Itali itu pula akan beraksi buat pertama kali pada saingan peringkat kumpulan sejak 2013.

Mereka kini semakin yakin selepas permulaan cemerlang dalam Serie A yang memberikan mereka sembilan mata maksimum dalam tiga perlawanan awal.

Stefano Pioli yang tidak pernah memenangi kejuaraan utama selaku jurulatih, memiliki pasukan lebih kuat selepas kehadirannya pada 2019 dibuktikan selepas kemenangan 2-0 Ahad lalu menentang Lazio di San Siro.

"Kita sepatutnya hanya bermimpi di malam hari, pada siang hari kita perlu bekerja keras untuk merealisasikan impian itu," katanya.

Lapan tahun menjadi tempoh yang sukar buat juara Eropah tujuh kali itu yang tidak menang Serie A dalam sedekad dan kali terakhir meraih kejayaan di peringkat tertinggi Eropah ialah pada 2007 ketika mereka menewaskan Liverpool di Athens.

Itu ialah pertarungan terakhir kedua-dua pasukan dan ia hadir selepas dua tahun The Reds menghadiahkan kekalahan paling trauma dalam sejarah Milan apabila bangkit daripada ketinggalan tiga gol berdepan skuad bintang Rossoneri sebelum menang menerusi penentuan penalti di final.

Sejak itu Milan, pasukan paling berjaya Itali di Eropah gagal melepasi suku akhir UCL dan pada 2019, ketika melalui proses pemulihan masalah kewangan disebabkan pemilikan dari China, gagal ke peringkat kumpulan Liga Europa yang disertai Dudelange, Olympiakos dan Real Betis.

Kumpulan kali ini lebih sengit dengan penyandang gelaran La Liga, Atletico Madrid dan juara Portugal, Porto akan menjadi penghalang laluan mereka ke peringkat kalah mati tetapi legenda Milan, Arrigo Sacchi memberitahu Pioli kini berada di landasan yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 3:27 PM