GIROUD meraikan jaringan pertama Milan. FOTO Reuters
GIROUD meraikan jaringan pertama Milan. FOTO Reuters
AFP

Milan: AC Milan mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) kali pertama dalam tempoh sembilan tahun selepas menewaskan Salzburg 4-0 manakala RB Leipzig turut layak selepas membelasah Shakhtar Donetsk.

Juara Eropah tujuh kali, Milan tahu satu mata cukup untuk membolehkan mereka mara ke peringkat 16 terakhir kali pertama sejak musim 2013-14 selepas tersingkir pada peringkat kumpulan musim lalu.

"Malam seperti ini yang kami mahukan," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli kepada Sky Sport.

"Kami mahu tunjukkan kami bertambah baik berbanding musim lalu dalam saingan UCL. Kami bercita-cita, jadi tunggu apa berlaku selepas ini."

Skuad Pioli membuka tirai jaringan di San Siro menerusi tandukan Olivier Giroud minit ke-14 dan Rade Krunic menambah gol kedua seminit selepas rehat.

Giroud menjaringkan gol keduanya minit ke-60 sebelum Junior Messias melengkapkan kemenangan bergaya Milan di hadapan 70,000 penonton.

Milan layak dari Kumpulan E di tempat kedua di belakang Chelsea yang bangkit menewaskan Dinamo Zagreb 2-1 di Stamford Bridge hasil jaringan Raheem Sterling dan Denis Zakaria yang tampil kali pertama bersama Blues.

Leipzig turut hanya perlu mengelakan kekalahan untuk mara ketika menentang kelab Ukraine, Shakhtar di Warsaw.

Shakhtar yang bermain di tempat sendiri di Poland susulan pencerobohan Rusia mengejutkan Leipzig 4-1 pada aksi pembukaan Kumpulan F namun kelab Bundesliga itu kali ini terlalu kuat untuk mereka apabila tewas 0-4.

"Saya sangat bangga dengan mereka. Kami tidak bermula dengan baik tetapi memberikan prestasi mantap dan sangat gembira dapat mara," kata penyerang Leipzig, Emil Forsberg kepada DAZN.

Juara bertahan Real Madrid mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan selepas membelasah Celtic 5-1 di Santiago Bernabeu.

Luka Modric dan Rodrygo kedua-duanya menjaringkan penalti pada babak pertama sebelum tiga gol lagi diperolehi selepas rehat menerusi Marco Asensio, Vinicius Junior dan Fede Valverde.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:28 AM