ZAHA (kanan) meraikan jaringan pertama Palace.  FOTO AFP
ZAHA (kanan) meraikan jaringan pertama Palace. FOTO AFP
AFP

London: Crystal Palace menamatkan permulaan cemerlang Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas penalti Wilfried Zaha dan dua jaringan lewat Odsonne Edouard memastikan kemenangan 3-0, malam ini.

Skuad Nuno Espirito Santo menyaksikan Japhet Tanganga dibuang padang selepas mendapat kad kuning kedua pada babak kedua di Selhurst Park.

Zaha memanfaatkan kelebihan itu dengan meledak gol pembukaan menerusi penalti selepas bola terkena tangan Ben Davies.

Edouard yang masuk sebagai pemain gantian melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah dengan menjaringkan dua gol pada aksi pertamanya selepas berpindah dari Celtic dengan harga £15 juta pada Ogos lalu.

Tottenham memulakan kempen liga dengan tiga kemenangan dan tanpa bolos, pencapaian terbaik dalam sejarah mereka tetapi kelab utara London itu gagal mengekalkan momentum.

Ia detik amat bermakna buat Patrick Vieira selepas bekas pemain tengah Arsenal itu meraih kemenangan pertama sebagai pengendali Palace.

Vieira yang hanya tewas dua daripada 18 aksi liga menentang Tottenham ketika menjadi pemain gagal menang dalam empat perlawanan pertama dalam semua kejohanan selepas menggantikan Roy Hodgson di Palace.

Tottenham pula beraksi di bawah tahap sebenar tanpa Son Heung-min selepas bintang Korea Selatan itu mengalami kecederaan ketika tugasan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 10:06 PM