MICHAEL ledak gol kebangkitan Everton. -FOTO AFP
MICHAEL ledak gol kebangkitan Everton. -FOTO AFP
AFP

Liverpool: Everton memastikan kedudukan mereka dalam saingan Liga Perdana terus bernafas apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada separuh masa kedua dalam aksi penuh mendebarkan untuk melakarkan kemenangan menewaskan Crystal Palace 3-2 di hadapan penonton di Goodison.

Pengurus Palace, Patrick Vieira menendang penyokong yang memasuki padang sebanyak dua kali selepas gol kemenangan dari Dominic Calvert-Lewin lima minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Vieira enggan mengulas mengenai insiden yang tercetus ketika dia dikelilingi peminat Everton dalam perjalanan menuju ke bilik persalinan.

Hanya kemenangan yang diperlukan oleh Everton untuk turut memastikan mereka kekal selama 68 tahun dalam liga utama Inggeris dengan kempen akan tamat Ahad ini.

Namun beberapa siri kesilapan di bahagian pertahanan merugi anak didik Frank Lampard apabila gol dari Jean-Philippe Mateta dan Jordan Ayew membolehkan Palace mengawal perlawanan pada separuh masa pertama.

Michael Keane mencetus kebangkitan sembilan minit selepas rehat sebelum Richarlison menyamakan kedudukan 15 minit sebelum tamat permainan.

Masalah kecederaan Calvert-Lewin menjadi punca kemerosotan Everton musim ini tetapi pemain England itu tampil meledak gol penting apabila menanduk masuk sepakan percuma Demarai Gray.

"Orang luar pasti akan berkata yang peluang kami sudah tertutup ketika rehat, tetapi karakter kelab ini mencetus kebangkitan kami.

"Semangatnya luar biasa. Saya amat terharu," kata Lampard.

Persaingan untuk tidak menyertai Norwich dan Watford dalam Liga Kejuaraan musim depan kini antara Burnley dan Leeds menuju ke hari terakhir musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 9:42 AM