VAN Dijk tonggak pertahanan Liverpool.
VAN Dijk tonggak pertahanan Liverpool.
AFP

Liverpool: Dua pasukan pencabar gelaran Liga Perdana musim ini, Liverpool dan Chelsea berentap di Anfield awal pagi Ahad manakala Arsenal berdepan misi getir apabila berkunjung ke Manchester City malam esok.

Arsenal tewas kepada Chelsea minggu lalu dengan Romelu Lukaku meledak jaringan pada penampilan pertamanya ketika menang 2-0 di Emirates.

Bintang Belgium itu yang kembali ke Stamford Bridge dengan harga rekod kelab £97 juta (RM557j) menjaringkan gol ke-114nya di Liga Perdana tetapi yang pertama bersama Chelsea selepas gagal menyerlah sebelum ini.

Kini Lukaku, 28, menjadi sandaran juara Eropah kendalian Thomas Tuchel untuk mencabar gelaran liga.

Chelsea dan Liverpool muncul dua daripada lima pasukan yang meraih mata maksimum selain West Ham, Tottenham dan Brighton. Mereka kini mendahului dua mata di hadapan Manchester United dan tiga mata meninggalkan Manchester City.

Lukaku tidak berdepan tugas mudah di Anfield selepas Liverpool kembali mendapatkan khidmat pertahanan tengah berkarisma, Virgil van Dijk yang sudah pulih kecederaan.

Kehadiran bintang Belanda itu meyaksikan skuad Jurgen Klopp kekal tanpa bolos ketika menentang Norwich dan Burnley tetapi penjaga gol, Alisson Becker tahu menewaskan Chelsea bakal memberi amaran kepada pencabar lain bahawa The Reds kini berada di tahap terbaik.

Arsenal pula menduduki tangga kedua terbawah tanpa sebarang mata dan jaringan daripada dua perlawanan awal serta berdepan tugas berat apabila menentang juara bertahan di tempat lawan.

Tetapi Gunners mendapat suntikan moral selepas membelasah West Brom 6-0 dalam aksi Piala Liga semalam sekali gus meredakan tekanan di bahu pengurus Mikel Arteta yang diberi tempoh sehingga Oktober untuk memulihkan prestasi anak buahnya manakala City pula tidak tewas kepada Arsenal dalam saingan liga sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 11:11 AM