AKSI pemain Liverpool ketika menentang Chelsea dalam perlawanan Piala Carabao di Stadium Anfield. FOTO Reuters
AKSI pemain Liverpool ketika menentang Chelsea dalam perlawanan Piala Carabao di Stadium Anfield. FOTO Reuters

KUALA LUMPUR: Tiga hari selepas kecundang di gelanggang keramat Anfield, ramai menjangkakan Liverpool akan ‘mengamuk’ di Stamford Bridge, tengah malam esok sebagai misi membalas dendam terhadap Chelsea dalam kancah lebih elit - Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekalahan 1-2 di Anfield dalam kempen Piala Liga jelas cukup menyakitkan buat Reds tetapi ia mempunyai sisi positif yang bermakna beban anak buah Jurgen Klopp makin berkurangan sekali gus mampu memberikan tumpuan lebih terhadap kejuaraan lebih berprestij.

Malah, ramai di antara peminat Liverpool bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia juga tampak seakan tidak begitu kecewa dengan keputusan itu sekalipun ia menjadi kekalahan pertama kelab kesayangan mereka di arena kompetitif musim ini.

Apa yang pasti, selepas kekalahan itu, ramai yang mengharapkan aksi lebih menarik dapat dijelmakan di Stamford Bridge tatkala keputusan boleh menjadi petunjuk utama terhadap pemburuan kejuaraan musim ini.

Selepas enam perlawanan liga, Liverpool gah di puncak dengan mengumpul 18 mata maksimum tetapi Chelsea juga tidak kurang hebatnya apabila hanya ketinggalan dua mata selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang West Ham.

Begitupun, keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Maurizio Sarri itu kini berada di tangga ketiga liga di belakang penyandang juara, Manchester City.

Buat Klopp, satu lagi kekalahan pasti boleh mengundang bencana buat Liverpool dalam pemburuan kejuaraan musim ini - gelaran yang kali terakhir diraih 28 tahun lalu pada 1990.

Kunjungan Reds ke London juga bukan mudah. Berdasarkan statistik daripada tiga pertembungan musim lalu dalam kempen liga, skuad kendalian Klopp tidak pernah menang dengan satu kekalahan dan dua seri.

Selain menjadi pertembungan taktikal membabitkan dua pengurus hebat, aksi di Stamford Bridge juga boleh dianggap menjadi pertarungan peribadi di antara penyerang Mesir, Mohamed Salah dan bintang Belgium, Eden Hazard.

Pada musim lalu, Salah membuktikan dia lebih berkualiti berbanding bekas rakan sepasukannya itu di EPL apabila meledak 32 gol sekali gus muncul penjaring terbanyak liga, tetapi gol Hazard di Anfield tiga hari lalu nampak seakan memberinya peringatan.

Kedua-dua tonggak ini dimasukkan sebagai pemain gantian di Anfield tatkala kedua-dua pasukan bagaikan menyimpan taring namun Hazard membuktikan dia lebih efektif apabila menggegar gawang Reds.

Justeru, perlawanan ini bukan saja memberikan peluang Liverpool membalas dendam, tetapi buat Salah membuktikan ketajamannya selepas hanya meledak tiga gol dalam enam perlawanan setakat ini.

Sementara itu, satu lagi aksi yang dianggap menarik untuk disaksikan ialah membabitkan Manchester United menentang West Ham United dengan tumpuan terhadap Jose Mourinho.

Selepas enam perlawanan, United sudah melakar dua kekalahan namun penyingkiran dalam kancah Piala Liga kepada kelab divisyen dua, Derby pasti memberinya lebih tekanan.

Arsenal dijangka berdepan kesukaran menentang Watford tapi skuad kendalian Unai Emery dijangka tidak bermasalah untuk meneruskan deretan keputusan baik kelab itu setakat ini.

Berdasarkan prestasi semasa, Manchester City yang dijadual bertemu Brighton & Hove Albion dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata.

RAMALAN

West Ham 2 Manchester United 2

Arsenal 1 Watford 0 

Everton 2 Fulham 0 

Huddersfield Town 1 Tottenham Hotspur 1

Manchester City 3 Brighton & Hove Albion 1

Newcastle United 2 Leicester City 3 

Wolverhampton 1 Southampton 2

Chelsea 1 Liverpool 2

Cardiff City  0 Burnley 0

Bournemouth 1  Crystal Palace 0

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 9:15 PM