Pemain Shakhtar Donetsk, Pedrinho (dua kiri) dikawal ketat pertahanan Monaco. FOTO AFP
Pemain Shakhtar Donetsk, Pedrinho (dua kiri) dikawal ketat pertahanan Monaco. FOTO AFP
AFP

Paris: Gol pemain baharu ditandatangani Pedrinho memberikan Shakhtar Donetsk mendahului 1-0 ke atas Monaco dalam pusingan play-off Liga Juara-Juara sebelum aksi timba balik di Ukraine, minggu depan.

Perancang tengah dari Brazil itu menyertai Shakhtar dari Benfica bulan lalu dan menjaringkan gol kemenangan dalam babak pertama.

"Kami mempunyai 25 minit yang luar biasa. Kemudian kami kehilangan bola yang memberi harapan kepada lawan kami," kata jurulatih Shakhtar, Roberto De Zerbi.

"Objektif sekarang adalah untuk beraksi 90 minit sama seprti kami lakukan pada 25 minit awal permainan.

Pedrinho, 23, yang menandatangani kontrak bersama wakil Ukraine membalas kepercayaan yang diberikan De Zerbi dengan meledak gol pada minit ke-19.

Dia menyambut bola dalam kotak penalti dan menggelecek melepasi tiga pertahanan sebelum melepaskan sepakan dari kaki kanan mengatasi penjaga gol, Radoslaw Majecki.

Tuan rumah mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat tetapi kapten, Wissam Ben Yedder dan pemain tengah Aurelien Tchouameni gagal menewaskan Anatolii Trubin.

Trubin, 20, yang tidak diturunkan dalam skuad Euro 2020 Ukraine, berdepan asakan pada separuh masa kedua untuk menafikan usaha memburu gol yang dilakukan pemain sayap Aleksandr Golovin, Ben Yedder dan pemain gantian Myron Boadu.

"Trubin, masih muda, beraksi dengan baik, sama seperti semua pemain lain," kata De Zerbi.

"Jika tidak, agak sukar untuk memenangi perlawanan di Monaco."

Keputusan perlawanan pertama pusingan play-off Liga Juara-Juara:

Monaco 0 Shakhtar Donetsk 1 (Pedrinho 19)

Salzburg 2 (Adeyemi 57, Aaronson 90) Brondby 1 (Uhre 4)

Sheriff Tiraspol 3 (Traore 45, 80, Kolovos 54) Dinamo Zagreb 0

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 8:23 AM