RUDIGER (kanan) bertembung dengan Trubin (dua kiri) sebelum menjaringkan gol penyamaan. FOTO AFP
RUDIGER (kanan) bertembung dengan Trubin (dua kiri) sebelum menjaringkan gol penyamaan. FOTO AFP
AFP

Warsaw: Real Madrid mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang Shakhtar Donetsk di Warsaw, hari ini.

Antonio Rudiger menjaringkan gol menerusi tandukan pada masa kecederaan untuk menyamakan kedudukan dan membolehkan penyandang juara itu mara ke pusingan kalah mati.

Shakhtar yang terpaksa beraksi di di Poland berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, mempamer aksi mengkagumkan dan mendahului menerusi Oleksandr Zubkov pada awal separuh masa kedua.

Real dilihat hampir mengalami kekalahan buat kali pertama musim ini dalam semua pertandingan, tetapi Rudiger menanduk masuk bola berpunca hantaran lintang Toni Kroos pada minit kelima masa kecederaan namun bertembung kepala dengan penjaga gol, Anatoliy Trubin.

Rudiger meninggalkan padang dengan berlumuran darah manakala penjaga gol Shakhtar itu terpaksa dibalut di kepalanya.

"Dia mengalami luka yang agak panjang di dahinya, terdapat banyak darah, tetapi dia berada dalam keadaan baik.

"Dia mahu kembali ke padang, tetapi kami sedar dia cedera. Saya tidak fikir ia terlalu serius.

"Kami tidak bermain dengan baik, tetapi pasukan ini tidak pernah berputus asa. Kami sahkan kemaraan di peringkat 16 terakhir pada perlawanan yang tidak sempurna," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti kepada Movistar.

Madrid kini mendahului Kumpulan F dengan mengumpul 10 mata, enam mata di depan RB Leipzig yang menewaskan Celtic 2-0 di Scotland, manakala Shakhtar di tempat ketiga dengan lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:05 AM