GUARDIOLA yakin Grealish akan kembali menemui sentuhan jaringan. FOTO EPA
GUARDIOLA yakin Grealish akan kembali menemui sentuhan jaringan. FOTO EPA
AFP

London: Pep Guardiola mempertahankan Jack Grealish untuk menamatkan kemarau gol selepas pemain yang mencipta rekod termahal Manchester City itu bergelut dengan prestasinya.

Grealish hanya menjaringkan dua gol buat City sejak berpindah dari Aston Villa.

Pemain berusia 26 tahun itu kali terakhir meledak gol September lalu ketika City mengalahkan Leipzig dalam perlawanan Liga Juara-Juara.

Bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pula Grealish menjaringkan gol ketika penyandang juara itu menentang Norwich Ogos lalu.

Grealish dilihat gagal untuk mengulangi prestasinya bersama Villa ketika memakai jersi City dan terlepas peluang keemasan untuk kembali menemui sentuhan jaringan ketika menentang Wolves Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pengurus City, Guardiola tidak sangsi dengan dengan kemampuan pemain tengah England itu walaupun 13 perlawanan tanpa meledak sebarang gol dan yakin Grealish bakal mendapat semula sentuhan jaringan.

"Dia perlu melakukan apa yang dia sedang lakukan, tidak lebih dari itu. Hasilnya pasti menjelma.

"Dia mempunyai peluang untuk menjaringkan dua atau tiga gol dalam setiap perlawanan dan satu hari nanti dia pasti menemui sasaran. Dia sebenarnya mampu meledak hatrik ketika menentang Watford dan dalam perlawanan terakhir sekali lagi memperoleh peluang meledak satu atau dua gol.

"Cara dia bermain adalah sangat baik namun apabila anda berdepan pasukan luar biasa seperti Wolves, yang mempunyai rangkaian pertahanan sangat teratur, ia sukar untuk memecahkan tembok mereka. Ia sangat rumit buat semua pemain bukan hanya Jack sahaja.

"Tidak pernah dalam karier saya dapat melihat pemain mampu kekal hebat sepanjang musim, sejak dari awal hingga akhir. Akan ada naik dan turun," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 8:34 AM