GREALISH sah menjadi milik City. FOTO AFP
GREALISH sah menjadi milik City. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City mengumumkan menandatangani pemain berbakat semula jadi, Jack Grealish selama enam tahun dari Aston Villa dengan bayaran rekod Britain dilaporkan berjumlah £100 juta (RM587 juta).

City mengesahkan Grealish akan memakai jersi nombor 10, yang sebelum ini dipakai oleh Sergio Aguero.

"Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester City. City adalah kelab terbaik dalam negara ini dengan memiliki pengurus antara terbaik di dunia. Ia bagaikan mimpi jadi kenyataan untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini," kata Grealish.

Bayaran berkenaan memecahkan rekod Britain sebelum ini £89 juta (RM522 juta) yang dibayar Manchester United untuk mendapatkan Paul Pogba dari Juventus pada 2016.

"Selama 10 musim terakhir, City memenangi trofi utama secara konsisten. Pep Guardiola yang datang ke sini membawa mereka ke tahap seterusnya dan bola sepak yang dimainkan oleh pasukan ini adalah yang paling menarik di Eropah.

"Bermain dengan Pep dan belajar darinya akan menjadi istimewa kerana ia adalah sesuatu yang diinginkan oleh pemain bola sepak terkemuka.

"Kemudahannya luar biasa, dan saya tidak sabar untuk memulakan, bertemu dengan semua orang dan bermain," kata Grealish

City dilaporkan mengaktifkan klausa dalam kontrak Grealish yang memaksa Villa untuk menerima tawaran mereka mencecah £100 juta.

Grealish kembali dari percutian di Dubrovnik pada awal minggu ini dan menyambung semula latihan sementara City memulakan gerak kerja mendapatkan pemain berkenaan.

Selepas keluar dari akademi Villa, Grealish menghabiskan seluruh karier di kelab yang disokongnya ketika masih kecil, selain pernah dipinjamkan kepada Notts County pada musim 2013-14.

Dia sudah membuat 213 penampilan untuk Villa sejak debutnya pada tahun 2014, menjaringkan 32 gol dan melakukan 43 hantaran menghasilkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 9:52 AM