Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee.
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tempoh lebih lama untuk serasi bersama dalam usaha membentuk gandingan mantap menyebabkan skuad Bawah 19 (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 diberikan kepercayaan beraksi di Kejuaraan AFC B-23.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, ketika ini pihaknya harus memikirkan perancangan pada masa akan datang terutama dalam usaha melayakkan diri secara merit ke temasya Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

"Jika kita bawa pemain bawah 22 tahun berapa lama mereka boleh bersama dan kalau kita bawa skuad 20 tahun mungkin lebih panjang tempoh boleh bersama.

"Kita akan bawa pemain sama beraksi dalam kejohanan Piala AFC yang layak ke Uzbekistan tapi kejohanan itu terbatal maknanya pemain terbabit kita akan pilih.

"Saya faham ada pemain bawah 23 tahun yang boleh beraksi namun tujuan kita beri laluan bawah 20 tahun untuk beri pengalaman dan pendedahan seterusnya layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini skuad B-19 negara mengesahkan tempat ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 selepas mengalahkan Thailand 1-0 di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, Kemboja dua tahun lalu.

Namun, kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Uzbekistan tahun lalu terpaksa dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Terdahulu, FAM mengambil langkah berani apabila memutuskan untuk menghantar pasukan B-20 bagi mengharungi kempen Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Mongolia.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, tindakan terbabit tepat dalam memberi pendedahan kepada pemain muda di peringkat lebih tinggi.

Beliau yang mewakili negara seawal usia 17 tahun berkata, pendedahan skuad muda negara itu akan memberi impak dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun akan datang dengan masing-masing sudah bersedia untuk mengharungi kejohanan di peringkat lebih tinggi.

"Sampai bila kita nak simpan pemain muda?..nak tunggu mereka ini capai usia matang barulah nak diserapkan dalam skuad negara…jika itu berlaku saya lihat prestasi skuad kebangsaan akan tetap sama saja malah mungkin tidak boleh mencapai tahap tertinggi.

"Berikan pendedahan kepada pemain muda di peringkat lebih tinggi dan keputusan ini akan menentukan kemampuan skuad kebangsaan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 10:53 PM