SKUAD B-19  miliki ramai pemain muda berpotensi.
SKUAD B-19 miliki ramai pemain muda berpotensi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas pembatalan kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021, situasi sama mungkin terjadi kepada penganjuran Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan, Mac tahun hadapan.

Kebimbangan itu disuarakan pengurus pasukan B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang memberi bayangan AFC akan menuruti jejak langkah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) susulan rintangan dihadapi dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.

"Saya hormati sekiranya ia terpaksa dibatalkan. Pada masa sama saya mengharapkan badan induk bola sepak bertanggungjawab mengambil langkah serta pendekatan terkini supaya barisan pemain muda yang berpotensi untuk menyinar tidak akan dihampakan pada masa hadapan," katanya hari ini.

Sekiranya skuad B-19 negara terpaksa mengharungi 2021 tanpa kejohanan utama, Kamarul Ariffin berpendapat satu mekanisme baharu untuk menjamin kelestarian pembangunan pemain perlu diwujudkan bagi mengelakkan daripada berlakunya pembaziran bakat berskala besar.

Menurut beliau, kemampuan barisan pemain skuad B-19 negara berada pada tahap mengagumkan selain memiliki potensi untuk menyerlah di peringkat tertinggi, termasuk melakar sejarah melayakkan diri secara merit ke kejohanan Piala Dunia B-20.

"Saya memandang serius perkara ini kerana kebarangkalian bakat muda akan dilahirkan melalui dua kejohanan ini amat tinggi dan dalam era bola sepak moden, perkembangan di peringkat B-19 amat penting untuk menganggotai skuad utama (senior) satu hari nanti.

"Mereka ini adalah kelompok pemain yang akan 'meletup' pada bila-bila masa dan dalam kelompok ini juga akan lahir segelintir bakat dikagumi di peringkat dunia. Jadi, pembatalan ini memberi kesan besar kepada perkembangan pemain-pemain peringkat bawah umur," jelas beliau.

Kejuaraan B-19 AFC menjadi platform kelayakan kepada pasukan di rantau Asia untuk memburu kedudukan empat pasukan terbaik kejuaraan itu untuk mendapat slot automatik ke Piala Dunia B-20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 10:25 PM