CHILE bersedia untuk berdepan cabaran sukar dari tuan rumah, Brazil. FOTO AFP
CHILE bersedia untuk berdepan cabaran sukar dari tuan rumah, Brazil. FOTO AFP
Agensi

Rio de Janeiro: Penyandang juara, Brazil dan Chile akan kembali mempertaruhkan bintang mereka menjelang aksi suku akhir Copa America esok.

Neymar akan kembali perkuatkan Brazil dan Alexi Sanchez sudah sembuh dari kecederaan betis untuk aksi yang akan berlangsung di Stadium Nilton Santos, Rio de Janeiro.

Selecao merehatkan pemain utama, Neymar, Thiago Silva dan Gabriel Jesus ketika mencatat keputusan seri 1-1 dengan Ecuador Isnin lalu.

Casemiro pula tidak diturunkan dalam kesebelasan utama dengan hanya masuk sebagai pemain gantian.

Tiga kemenangan daripada empat perlawanan Copa America setakat ini, meletakkan mereka pasukan pilihan untuk muncul juara.

Chile hanya mencatat kemenangan ketika menentang Bolivia dan seakan hilang sentuhan seperti yang mereka lakarkan sebelum ini dengan muncul juara berturut-turut pada 2015 dan 2016.

Aksi terakhir paling diingati antara Brazil dan Chile ialah di pusingan kedua Piala Dunia 2014.

Aksi sebenar tamat 1-1, dengan jaringan disumbangkan David Luiz dan Sanchez.

Chile hampir menumpaskan tuan rumah pada masa tambahan apabila rembatan Mauricio Pinilla terkena palang pada minit terakhir.

Bagaimanapun, Brazil menang menerusi penentuan penalti 3-2 dan Pinilla juga gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Silva yang akan diturunkan menjelang perlawanan esok juga kelihatan menitiskan air mata ketika penentuan penalti itu akibat terlalu tertekan.

"Saya tidak sematkan di dalam diri untuk sentiasa beremosi. Ia berlaku secara tiba-tiba.

"Saya dilabel sangat negatif ketika aksi menentang Chile. Ia memang sangat menyedihkan buat saya selepas sekian lama tapi ia juga proses pembelajaran buat saya untuk mempersiapkan diri dalam perlawanan penting," kata Silva.

Sanchez terlepas aksi peringkat kumpulan dan ketiadaannya memberi kesan kepada La Roja yang hanya meledak tiga gol setakat ini melalui dua jaringan Eduardo Vargas dan satu lagi melalui Ben Brereton.

Jurulatih, Martin Lasarte akan membuat keputusan selepas latihan hari ini sama ada ingin membariskan pemain berusia 32 tahun itu dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan.

"Beraksi menentang tuan rumah sentiasa sukar tapi Brazil juga sebenarnya berada dalam keadaan terbaik. Kami harus memberikan aksi terpuji dengan mencari kelemahan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 11:55 AM