KAPTEN Belgium, Eden Hazard (kanan) berebut bola dengan pemain pertahanan Portugal, Diogo Dalot pada perlawanan pusingan kedua Euro 2020 yang dimenangi Belgium 1-0, Ahad lalu. FOTO AFP
KAPTEN Belgium, Eden Hazard (kanan) berebut bola dengan pemain pertahanan Portugal, Diogo Dalot pada perlawanan pusingan kedua Euro 2020 yang dimenangi Belgium 1-0, Ahad lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Kapten Belgium, Eden Hazard disahkan mengalami kecederaan hamstring ketika pasukannya menyingkirkan juara bertahan, Portugal 1-0 di pusingan kedua Euro 2020, Ahad lalu.

Pemain sayap Real Madrid itu berdepan masalah kecederaan sejak tiba di Bernabeu dari Chelsea pada 2019 dan hanya membuat 14 penampilan La Liga bersama Los Blancos, musim lalu.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez menguruskan masa permainan Hazard dengan baik di Euro 2020 apabila tidak menurunkannya dalam dua aksi awal Kumpulan B.

Bagaimanapun, dia terpaksa meninggalkan padang di hujung perlawanan di Seville, Ahad lalu pada ketika pasukannya mempertahankan kedudukan 1-0 untuk mara ke suku akhir bertemu Itali.

Pemain berusia 30 tahun itu mengesahkan kecederaannya kepada wartawan selepas perlawanan: "Saya cedera, saya rasa sakit pada hamstring dan akan tengok keputusannya esok.

"Kami akan memeriksa kecederaan ini sebaik mungkin dan akan menentukan langkah berikutnya. Sebagai kapten, saya kekal bersama skuad kerana ada peranan penting perlu dilakukan."

Masalah kecederaan menjadi tumpuan Belgium menjelang aksi suku akhir menentang Itali, Jumaat ini, kerana selain Hazard, perancang, Kevin De Bruyne turut dikeluarkan selepas rehat kerana masalah pengelangan kaki.

Adik kapten itu, Thorgan Hazard muncul wira pada hujung minggu lalu apabila jaringan tunggalnya memastikan kemenangan ke atas Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 1:27 AM