PENYERANG Ukraine, Andriy Yarmolenko (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Ukraine dan Macedonia Utara, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Ukraine, Andriy Yarmolenko (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Ukraine dan Macedonia Utara, hari ini. FOTO AFP
AFP

Bucharest: Jurulatih Ukraine, Andriy Shevchenko menyifatkan pasukannya melakukan kesilapan apabila menghadiahkan penalti kepada pasukan liat, Macedonia Utara, sebelum menang 2-1 pada aksi Euro 2020, hari ini.

Menurutnya, walaupun selesa mendahului 2-0 dan bermain baik pada separuh masa pertama, keseimbangan pasukan berubah pada separuh masa kedua.

"Salah satu kesilapan kami memberikan penalti kepada lawan, kami gugup dan sepatutnya menambah jaringan, kami turut memiliki beberapa peluang.

"Kami harus memuji dan memberi kredit kepada Macedonia Utara kerana mereka mempunyai karektor dan menghukum kesilapan kami," katanya.

Andriy Yarmolenko menjaringkan satu gol dan membuka peluang kepada Roman Yaremchuk menjaringkan satu lagi gol, untuk membolehkan Ukraine menang 2-1 dan menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Penyerang West Ham itu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-29 di Bucharest dan kemudian mengumpan kepada Yaremchuk untuk menjadikan kedudukan 2-0, lima minit kemudian.

Ezgjan Alioski merapatkan kedudukan untuk Macedonia Utara pada minit ke-57 apabila melakukan rembatan susulan selepas sepakan penaltinya ditampan penjaga gol Ukraine.

Bagaimanapun, pemain tengah Ukraine, Ruslan Malinovskyi gagal memastikan kemenangan selesa apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Anak buah Andriy Shevchenko kini memiliki tiga mata iaitu sama dengan Austria dan Belanda dalam Kumpulan C, selepas Ukraine menamatkan enam perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi Euro.

Muka baharu kejohanan utama, Macedonia Utara tewas dua perlawanan awal dan akan tersingkir sekiranya Belanda tidak tewas kepada Austria di Amsterdam, manakala pasukan yang menang perlawanan itu akan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 12:47 AM