CHENG HOE yakin pemain-pemain yang dibawa ini juga mahukan peluang bermain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG HOE yakin pemain-pemain yang dibawa ini juga mahukan peluang bermain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan tonggak pertahanan kiri Harimau Malaya, Corbin Ong yang digantung untuk aksi menentang Thailand ekoran mengumpul kad kuning kedua nyata memeningkan kem negara ketika ini.

Ia susulan ketiadaan pemain yang dilihat mampu mengisi posisi itu dengan kemungkinan dua tonggak dilihat berpotensi beraksi sama ada antara Syahmi Safari atau Adam Nor Azlin.

Jelas Cheng Hoe, walaupun siapa pun yang akan diturunkan kelak, beliau mahu pemain terbabit memberi fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam usaha memastikan kemenangan sulung mampu dilakar pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand di Stadium Al Maktoum nanti.

Untuk rekod, selain kehilangan Corbin, pasukan turut terpaksa melupakan khidmat Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh yang juga mengumpul dua kad kuning namun ia tidak menjejaskan perancangan Cheng Hoe yang memiliki banyak pilihan di jentera tengah.

"Kita sedar tiga pemain kita digantung untuk aksi berikutnya dan kita kena sediakan pasukan terbaik untuk melawan Thailand. Walaupun mereka seri dengan Indonesia dan tewas kepada UAE (Emiriah Arab Bersatu), tapi mereka menunjukkan mereka ada pasukan yang baik dan kita kena berhati-hati.

"Saya rasa secara keseluruhan kita fokus tentang pasukan kita dan dari segi bek kiri Corbin pemain tetap di posisi itu, sedikit sebanyak boleh menjejaskan kita punyai pertahanan kerana kita tidak ada pemain pertahanan kiri yang boleh diketengahkan.

"Tetapi kita yakin pemain-pemain yang kita bawa ini mereka juga mahukan peluang bermain dan mereka juga akan diberi peluang untuk bermain perlawanan Thailand.

"Saya berhrap pemain ini akan beri fokus dan juga tumpuan yang terbaik untuk perlawanan menentang Thailand nanti," katanya ketika sidang media secara maya semalam.

Syahmi yang beraksi untuk pasukan Selangor FC pada hakikatnya adalah pemain pertahanan kanan namun dia juga berkemampuan untuk bermain di bahagian kiri.

Begitu juga dengan Adam yang sebenarnya lebih kerap bermain di posisi pertahanan tengah ketika bersama skuad Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun sekali lagi dia juga berkemampuan beraksi di bek kiri seperti mana ketika bersama skuad bawah 23 tahun negara yang menerapkan taktikal tiga pertahanan dengan dia mengisi kedudukan di bahagian kiri.

Ujar Cheng Hoe lagi, beliau mengigatkan kepada pemainnya supaya tidak memandang mudah cabaran Thailand biarpun pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu memihak pasukan negara dengan kemenangan 2-1.

"Skuad kali ini jurulatih mereka bawa ramai pemain muda yang berpotensi dan kebanyakan mereka sudah bersama agak lama sejak dalam skuad B-23 Thailand lagi.

"Sudah tentu lawan Thailand ini kita kena tunjuk karektor sebenar dalam padang dan berdisiplin apabila turun menentang mereka nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 9:18 PM