TUNKU Ismail menyerahkan segala-galanya kepada Cools untuk membuat keputusan. FOTO NSTP
TUNKU Ismail menyerahkan segala-galanya kepada Cools untuk membuat keputusan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berhasrat untuk membawa masuk tonggak kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools bagi memperkuatkan skuad Harimau Selatan.

Katanya, Cools yang juga pemain pertahanan kelab Denmark, FC Midtjylland jelas berjaya memikat perhatiannya dan tahap permainan tonggak serba boleh itu berada pada kelas tersendiri.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Cools untuk membuat keputusan, sambil akui masa depan pemain berusia 24 tahun itu cukup cerah di pentas Eropah.

"Peringkat yang berbeza. Pemain yang bagus. Perancangan untuk bawa ke JDT sudah lama tetapi itu terpulang kepada pemain tersebut.

"Buat masa ini dia masih muda dan lebih baik bermain di Eropah di peringkat tertinggi seberapa lama yang beliau mampu," katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagramnya, hari ini.

Selain beraksi di Liga Denmark, Cools juga berpengalaman merasai saingan Liga Belgium serta turut membuat penampilan di Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dia juga pernah menyarung jersi skuad remaja Belgium dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum memutuskan untuk memilih skuad Harimau Malaya di peringkat senior.

Begitupun penampilan sulung Cools bersama Malaysia berakhir kekecewaan apabila skuad negara tumbang 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 11:03 PM