DONNARUMMA (tengah) masih belum menandatangani kontrak baru bersama Milan. FOTO EPA
DONNARUMMA (tengah) masih belum menandatangani kontrak baru bersama Milan. FOTO EPA
Agensi

London: Chelsea berminat untuk mendapatkan penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma, namun mereka berada di tempat kedua dalam perlumbaan berkenaan.

Menurut Tutto Mercato, Paris Saint Germain (PSG) berada di 'petak utama' untuk membawa masuk penjaga gol muda Itali itu yang dikhabarkan masih belum bersetuju untuk menandatangani kontrak baru bersama Milan.

Gergasi Serie A itu masih lagi dalam proses perbincangan untuk kontrak baru Donnarumma yang bakal berakhir hujung musim ini namun masih belum ada kata putus.

Ia mungkin akan selesai jika Milan bersetuju memasukkan klausa pembelian di dalam kontrak namun kalau gagal PSG akan menjadi calon pilihan dengan Mauricio Pochettino berminat mendapatkan penjaga gol berkelas dunia.

Bagaimanapun, Chelsea sekarang juga sedang memantau situasi Donnarumma.

Sementara itu, bekas bintang Chelsea, Oscar berkata dia berminat untuk menamatkan kariernya di Stamford Bridge walaupun meninggalkan pasukan berkenaan pada 2017.

"Saya bercadang untuk menamatkan karier di Chelsea kerana saya mempunyai banyak kenangan manis di sana.

"Chelsea banyak membantu saya dan dapat mencapai apa yang saya sasarkan termasuk beraksi di Liga Juara-Juara, Piala Dunia dan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL)," kata Oscar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 1:09 PM