POCHETTINO (tengah) mahu anak buahnya mencatat kemenangan bukannya balas dendam. FOTO AFP
POCHETTINO (tengah) mahu anak buahnya mencatat kemenangan bukannya balas dendam. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara Piala Perancis, Paris Saint Germain (PSG) mempunyai peluang untuk membalas dendam terhadap juara liga, Lille di Tel Aviv menjelang aksi Trofi Juara Perancis pagi Isnin ini tatkala Mauricio Pochettino bakal memulakan musim penuhnya dengan kelab berkenaan.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu memberi amaran siapa saja yang akan diturunkan musim ini harus beraksi untuk mencari kemenangan berbanding membalas dendam kepada mana-mana pasukan.

PSG mahu mengambil pendekatan sederhana berdepan pasukan yang memintas mereka dalam perebutan juara liga musim lalu selepas akan turun tanpa bintang termasuk pemain baru, Sergio Ramos dan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.

Neymar pula masih berada di Brazil namun penyerang Perancis, Kylian Mbappe, pemain tengah Itali, Marco Verratti dan sayap Argentina, Angel Di Maria kesemuanya sudah kembali bersama pasukan.

Pemain tengah Belanda, Xavi Simmons juga mencuri perhatian ketika aksi pemanas badan dan Pochettino berkata, beliau tidak keberatan untuk melakukan sebarang perubahan.

"Kita akan melihat sebelum membuat keputusan siapa yang akan pergi dan ditinggalkan.

"Ia bukan perlawanan balas dendam menentang Lille, balas dendam adalah ke atas diri kami sendiri,"

"Kehilangan takhta, kalah dalam separuh akhir Liga Juara-Juara membuatkan kami sedikit kecewa. Kami mahu memenangi semua kejohanan. Kami tidak mempunyai pasukan terbaik namun ia bukan alasan.

"Sebagai jurulatih saya tidak mahu melihat pasukan lain diletakkan sebagai pilihan," kata Pochettino.

Lille memenangi Ligue 1 dengan hanya kelebihan satu mata sekali gus menamatkan penguasaan kelab dari Paris itu selama tiga tahu berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 2:47 PM