SIRIGU hanya tampil sekali di Euro 2020 sebagai pemain gantian ketika menentang Wales. FOTO Agensi
SIRIGU hanya tampil sekali di Euro 2020 sebagai pemain gantian ketika menentang Wales. FOTO Agensi
AFP

Rom: Penjaga gol Itali, Salvatore Sirigu berhijrah ke Genoa dengan perpindahan percuma, umum kelab berkenaan, sebaik pemain itu kembali ke negaranya selepas membantu Itali muncul juara Euro 2020.

Sirigu berada dalam skuad Azzuri ketika di Euro baru-baru ini namun hampir tidak beraksi selepas Gianluigi Donnarumma mendominasi posisi berkenaan tatkala skuad bimbingan Roberto Mancini itu muncul juara hasil persembahan menakjubkan.

Genoa tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai kontrak pemain berusia 34 tahun itu, yang dilepaskan oleh Torino bulan lalu selepas beraksi lebih 150 kali dalam tempoh empat musim.

Bagaimanapun, media Itali melaporkan Sirigu menandatangani kontrak setahun dengan mempunyai pilihan untuk lanjutan kontrak pada musim berikutnya.

Pencapaian terbaik Sirigu di kelab utama hadir ketika lima tahun bersama pasukan baru Donnarumma, Paris Saint Germain.

Dia meraih empat kejuaraan liga di antara 2013 hingga 2016 di kelab Perancis itu, tiga darinya diletakkan dalam kesebelasan utama dan juga pernah memenangi Piala Perancis sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:50 PM