MARKIMAN Kobiran berkata sudah tiba masanya mengangkat kembali kegemilangan sepak takraw negara. FOTO Saddam Yusoff
MARKIMAN Kobiran berkata sudah tiba masanya mengangkat kembali kegemilangan sepak takraw negara. FOTO Saddam Yusoff
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bagaikan sudah berpatah arang apabila 11 ahli gabungan yang sudah keluar daripada naungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetap dengan pendirian untuk menubuhkan persatuan baharu dalam masa terdekat ini.

Keputusan 11 gabungan atau dikenali sebagai 'G11' ini diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan kira-kira 24 jam selepas Ahmad membuat pengumuman meletak jawatan nombor satu PSM, Jumaat lalu.

Malah, ketika ini boleh dikatakan persatuan baharu itu dalam persiapan akhir dengan 80 peratus dokumentasi sudah lengkap dengan kini hanya menunggu lampu hijau daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk meluluskan permohonan mereka.

Mengesahkan perkara terbabit Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) Datuk Markiman Kobiran berkata, situasi berkenaan tetap akan diteruskan dengan membawa rencana dan matlamat baharu untuk mengangkat kembali kegemilangan sepak takraw negara.

"Kamu (Datuk Seri Ahmad Ismail) yang menghancurkan PSM, di penghujung baru letak jawatan dan memanggil kami semua. Apa punya presiden PSM?. Kalau ikhlas, daripada mula lagi tentunya terlintas untuk meletak jawatan kerana sudah dikenakan hukuman penggantungan dan tidak mahu mengheret PSM sekali.

"Jadi jangan anggap kami sebagai bodoh, kata nak selamatkan PSM tetapi selama ini seperti tidak peduli pun.

"Empat belas hari selepas perbicaraan, 14 hari tempoh rayuan... (semuanya) 28 hari, apa yang beliau buat?. Jadi saya nak tanya beliau semula, pada masa itu (28 hari), tak terfikirkah untuk selamatkan PSM?," katanya.

Sebelum itu, bekas Presiden PSM, Ahmad merayu kepada semua ahli gabungan yang sudah keluar untuk kembali ke pangkuan badan induk berkenaan.

Ahmad atau dikenali sebagai 'Tok Mat' berkata, Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz akan menjemput semua presiden persatuan negeri yang sudah keluar untuk berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan badan induk berkenaan yang disingkirkan keahlian daripada Astaf.

Selain PSS, antara ahli gabungan yang keluar daripada PSM adalah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:41 PM