REAKSI Buffon selepas tamat final Piala Itali. FOTO AFP
REAKSI Buffon selepas tamat final Piala Itali. FOTO AFP
AFP

Reggio Emilia, Itali: Gianluigi Buffon menjulang trofi Piala Itali kali keenam dan turut menjuarainya kali kedua bersama anggota keluarga Chiesa.

Penjaga gol veteran Juventus itu beraksi ketika pasukannya menewaskan Atalanta 2-1 pada final awal pagi tadi. Federico Chiesa meledak gol kemenangan, 22 tahun selepas kejayaan Buffon memenangi piala itu bersama bapa Chiesa, Enrico ketika di Parma.

"Sebelum perlawanan saya kata kepadanya: 'Gigi, anda menang banyak trofi tetapi saya ingatkan yang anda menanginya bersama ayah saya. Malam ini kita berusaha menang bersama,'' kata pemain antarabangsa Itali, Chiesa.

Buffon, 43, akan beraksi perlawanan terakhir bersama Juventus menentang Bologna Isnin ini. Dia kembali ke Serie A musim lalu selepas bermain di Perancis bersama PSG.

"Ia final yang sengit," kata Chiesa yang berusia 23 tahun.

"Atalanta beraksi dengan baik tetapi Juventus sangat berpengalaman dan kami membawa balik trofi yang sangat penting.''

Chiesa menyertai Juventus secara pinjaman dari Fiorentina musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 9:12 AM