PENJAGA gol Juventus, Gianluigi Buffon dan rakan sepasukan menjulang trofi Piala Itali di Stadium Citta del Tricolore di Reggio Emilia.  FOTO AFP
PENJAGA gol Juventus, Gianluigi Buffon dan rakan sepasukan menjulang trofi Piala Itali di Stadium Citta del Tricolore di Reggio Emilia. FOTO AFP
AFP

Reggio Emilia, Itali: Andrea Pirlo menegaskan dia mahu terus menjadi jurulatih Juventus selepas menjulang trofi keduanya musim ini.

Juara liga yang disingkirkan itu menewaskan Atalanta 2-1 awal pagi tadi untuk muncul juara Piala Itali kali ke-14 selain memenangi Piala Super pada Januari lalu.

Dejan Kulusevski membuka tirai jaringan pada minit ke-31 sebelum pemain Atalanta Ruslan Malinovskyi menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu. Federico Chiesa muncul wira Juventus apabila meledak gol kemenangan ketika permainan berbaki 15 minit dalam perlawanan yang disaksikan penonton buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun.

"Aksi yang hebat antara dua pasukan yang berjuang sehingga tamat perlawanan. Penonton meraikannya dengan meriah selepas apa yang berlaku musim ini,'' kata Pirlo.

"Saya amat berminat mengendalikan Juventus sekali lagi tahun depan. Saya rasa saya menjalankan tugas dengan semakin baik dari hari ke hari, cuba memenangi final, saya suka kelab ini."

Pirlo mengakui tugas pertamanya sebagai jurulatih berdepan banyak kesukaran.

"Kemenangan ini tidak mengikis apa yang berlaku, turun dan naik,'' kata pemenang Piala Dunia 2006 itu. "Ia musim yang banyak saya pelajari.''

Sementara itu, jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini, 63, dinafikan trofi pertamanya sebagai jurulatih dan trofi kedua kelab selepas menjuarai Piala Itali 1963.

"Ya memang kecewa," said Gasperini. "Tapi kami gembira berada pada tahap ini dan layak ke Liga Juara-Juara untuk musim ketiga berturut-turut."

Kemenangan itu menjadi pemangkin semangat Juventus yang akan bersaing pada hari terakhir musim ini dalam misi meraih tiket Liga Juara-Juara selepas Inter Milan menamatkan penguasaan liga mereka sembilan musim berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 8:12 AM