KANE dikaitkan dengan perpindahan ke Man City. FOTO AFP
KANE dikaitkan dengan perpindahan ke Man City. FOTO AFP
Agensi

London: Harry Kane akan memberi tumpuan kepada perpindahan bernilai lebih £100 juta (RM585 juta) ke Manchester City.

Penyerang Tottenham berusia 27 tahun itu sudah menjelaskan mahu meninggalkan White Hart Lane pada hujung musim ini dengan keinginan untuk memenangi trofi dan City dilihat akan memberikan tawaran paling terbaik untuknya.

Kane percaya City bersedia untuk meneruskan pemburuan bagi mendapatkannya dan mahu Tottenham mendengar apa sahaja tawaran yang hadir.

Dengan gaji £200,000 (RM1.17 juta) seminggu ketika ini, Kane sedar dia boleh meraih gaji lebih tinggi dan hujung musim ini adalah peluang terbaiknya untuk menerima tawaran lumayan.

City dilihat menjadi pilihan utama dengan Manchester United memerhatikan perkembangan semasa pemain itu manakala Tottenham pastinya enggan menjual kapten England itu kepada seteru setempat, Chelsea.

Pengerusi Tottenham, Daniel Levy menegaskan beliau tidak akan menjual Kane pada hujung musim ini kerana pemain itu masih berbaki kontrak selama tiga tahun.

Kane dipercayai sudah mengadakan perbincangan dengan Tottenham beberapa minggu lalu di mana dia percaya pastinya ada perjanjian rasmi yang membolehkannya meninggalkan kelab.

Tottenham dikatakan tidak selesa dengan sikap terbuka Kane yang mahu meninggalkan kelab ketika masih berbaki dua perlawanan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 9:42 AM