KAPTEN England, Harry Kane berlatih dengan rakan sepasukan menjelang perlawanan Kumpulan D Euro 2020 menentang Republik Czech. FOTO EPA
KAPTEN England, Harry Kane berlatih dengan rakan sepasukan menjelang perlawanan Kumpulan D Euro 2020 menentang Republik Czech. FOTO EPA
AFP

London: Manchester City menawarkan 100 juta pound (RM575 juta) kepada Tottenham untuk mendapatkan kapten England, Harry Kane, menurut laporan media, hari ini.

Kane, 27, yang menyuarakan kepada umum keinginan untuk menambah trofi bagi kecemerlangan rekod jaringannya dan dipercayai mahu meninggalkan kelabnya sejak kecil itu pada musim panas ini.

Sky Sports melaporkan, Spurs dijangka menolak tawaran itu dengan pengerusi Tottenham, Daniel Levy mahukan sekurang-kurangnya 120 juta pound (RM690 juta) bagi aset utama mereka itu.

Walaupun Kane menang Kasut Emas untuk penjaring terbanyak dan tempat pertama bagi pengumpan jaringan musim lalu, Spurs sekadar menduduki tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris dan terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah bagi musim kedua berturut-turut.

Sebaliknya, City merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris ketiga dalam tempoh empat musim, tetapi terlepas peluang menjulang Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama apabila tewas 0-1 kepada Chelsea di final.

Juara Inggeris itu mahu mendapatkan pengganti selepas penjaring gol terbanyak mereka, Sergio Aguero yang bersama City selama 10 tahun, kini menyertai Barcelona.

Kane masih belum memenangi piala utama untuk kelab dan negaranya.

Dia berhasrat menamatkan kemarau itu di Euro 2020, tetapi prestasinya agak hambar pada dua perlawanan awal dan gagal menjaringkan gol sehingga digantikan ketika menentang Croatia dan Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:52 AM