KAPTEN England, Harry Kane tidak muncul di pusat latihan Tottenham, hari ini dan dipercayai mendesak untuk berpindah ke Manchester City. FOTO AFP
KAPTEN England, Harry Kane tidak muncul di pusat latihan Tottenham, hari ini dan dipercayai mendesak untuk berpindah ke Manchester City. FOTO AFP
AFP

London: Harry Kane dilaporkan tidak muncul untuk menjalani ujian saringan pra-musim bersama Tottenham, hari ini, sekali gus menghangatkan spekulasi penyerang itu mahu berpindah ke Manchester City.

Kane yang juga kapten England sepatutnya hadir ke pusat latihan Tottenham untuk menjalani ujian calitan Covid-19 dan penilaian kecergasan selepas bercuti tiga minggu sebaik Euro 2020 berakhir.

Bagaimanapun, Kane dilaporkan tidak muncul di Enfield, sekali gus menghangatkan spekulasi dia mahu menyertai City yang juga juara Liga Perdana Inggeris.

Tottenham yang akan menentang pasukan bimbingan Pep Guardiola itu pada minggu pertama musim baharu Liga Perdana Inggeris, bulan ini, enggan mengulas mengenai ketiadaan Kane itu.

Penyerang berusia 28 tahun itu secara terbuka menyatakan keinginannya meninggalkan Tottenham pada hujung musim lalu.

Kane dikatakan kecewa apabila Tottenham gagal menang piala utama sejak 2008, dengan kegagalan terbaharu apabila tewas di final Piala Liga di tangan Manchester City, musim lalu.

Dia percaya sudah membuat perjanjian dengan Tottenham untuk membenarkannya berpindah pada tahun ini.

Tetapi, ketika kontraknya masih berbaki tiga tahun, Pengerusi Tottenham, Daniel Levy tidak berhasrat menjual aset paling berharga kelab itu yang dianggarkan bernilai RM883.9 juta (150 juta pound).

Kane dilaporkan bercuti di Bahamas selepas England' tewas di final Euro 2020 di tangan Itali.

Memandangkan musim baharu Liga Perdana Inggeris akan bermula 13 Ogos ini, Kane jelas mendesak untuk berhijrah, walaupun pengurus baharu Tottenham, Nuno Espirito Santo menyatakan pemain itu tidak akan dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 8:30 PM