KANE lebih berminat sertai Bayern pada musim panas ini.
KANE lebih berminat sertai Bayern pada musim panas ini.
Agensi

London: Harry Kane tidak akan menerima sebarang kontrak baharu daripada Tottenham sebaliknya lebih berminat sertai Bayern Munich.

Kane memasuki tahun akhir kontrak dengan Spurs yang enggan menjualnya dengan harga kurang £100 juta (RM586 juta) selain berharap dapat melanjutkan perjanjian baharu dengan peningkatan gaji

£300,000 (RM1.75 juta) seminggu.

Namun menurut The Times, penyerang itu tidak berhasrat untuk terus bersama dengan kelab Utara London pada musim panas ini, bermakna dia boleh berpindah dengan percuma di penghujung musim depan.

Kapten England itu tidak bercadang mendesak perpindahan seperti dilakukannya pada 2021 selepas menarik minat mendalam Manchester City.

Sumber rapat dengan pemain itu mendakwa semua pilihan masih boleh dirundingkan dan menimbangkan perpindahan jika Tottenham tidak mahu menanggung risiko memasuki musim baharu tanpa menandatangani kontrak baharu.

Pengerusi Daniel Levy perlu membuat keputusan sama ada menjual Kane bagi mengelakkan kehilangannya dengan percuma atau terus menyimpan pemain itu bagi mengetuai kelab memburu tiket kelayakan Liga Juara-Juara.

Bayern menyaksikan dua bidaannya ditolak untuk mendapatkan Kane yang berusia 30 tahun minggu depan dengan tawaran terbaru bernilai £68.5 juta (RM401 juta).

Tottenham boleh menggunakan tawaran lebih baik daripada juara Jerman itu untuk memperkuatkan semula skuad Ange Postecoglou selepas berdepan kemerosotan prestasi musim lalu yang menyaksikan mereka menduduki tangga kelapan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 8:43 AM