Kane mengetuai England pada kempen Euro 2020. FOTO AFP
Kane mengetuai England pada kempen Euro 2020. FOTO AFP
Agensi

London: Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy dilaporkan bersetuju untuk membenarkan Harry Kane menyertai Manchester City dengan perjanjian dianggarkan bernilai £160 juta (RM930.7 juta) pada jendela perpindahan musim panas ini.

Penyerang berusia 27 tahun itu, pada awal tahun ini memberitahu Spurs dia mahukan cabaran baru dan Man City sudah lama dikaitkan sebagai salah satu pasukan pilihan untuk mendapatkan tandatangannya.

Menurut The Sun, Levy bersedia menjual kapten England itu kepada juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan £160 juta, ketika penyerang itu dijangka menerima pendapatan £400,000 (RM2.32 juta) mingguan.

Laporan menyatakan pengerusi Tottenham memberitahu Kane dan ejennya hujung minggu lalu, mereka bersetuju memberikan lampu hijau untuk perpindahan ke Stadium Etihad.

Penyerang itu mengharungi musim cemerlang pada kempen 2020-21 di Stadium Tottenham Hotspur, meledak 33 gol dan menghasilkan 17 bantuan jaringan dalam 49 penampilan di semua kejohanan.

Kane turut memainkan peranan penting bagi skuad England di Euro 2020, meledak empat gol dalam tujuh penampilan, ketika skuad Three Lions mara ke final kejohanan sebelum tewas kepada Itali.

Chelsea dan Manchester United turut menyatakan minat mereka untuk mendapatkan penyerang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 9:42 AM