Ibu pejabat Fifa di Zurich. FOTO FIFA
Ibu pejabat Fifa di Zurich. FOTO FIFA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Nasib 147 bekas pemain dari lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang sudah tutup akhirnya terbela apabila tunggakan gaji sejak 2015 sehingga 2020 dibayarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (Fam), Stuart Ramalingam berkata, jumlah keseluruhan yang bakal diterima adalah AS$456,214.48 atau bersamaan RM1.88 juta iaitu 2.85 % daripada jumlah keseluruhan dana AS$16 juta (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

Katanya, menerusi program 'FIFA Fund for Football Players' atau lebih dikenali sebagai Fifa FFP itu, badan induk dunia itu dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro) akan membayar terus ke akaun pemain terbabit.

"Permohonan daripada lebih 1,000 orang pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggota Fifa sudah diluluskan termasuk 147 permohonan dari Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

"Permohonan bagi pemain-pemain dari Malaysia itu dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (Pfam) dengan kerjasama Unit Undang-undang Fam yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status Fam dan termasuk juga kes yang diputuskan oleh Fifa.

"Fam turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi.

"Fam berterima kasih kepada Fifa dan FIFPro kerana menerusi wang dana yang diberikan ini, ia akan membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan yang ditutup.

"Juga kepada Pfam yang memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan itu," katanya.

Difahamkan setiap pemain akan menerima geran bantuan di antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang.

Namun begitu, Stuart menegaskan penerimaan dana ini bukanlah bermaksud kes ini sudah selesai sepenuhnya memandangkan dana yang diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaikan.

"Oleh itu, Fam menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan terbabit.

"Pada ketika ini, pihak Pfam sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada Fifa dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat beberapa pasukan yang tutup 'kedai' ekoran kegagalan melunaskan gaji pemain termasuk pasukan Kuantan FA, Perlis, Terengganu City FC dan beberapa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 8:20 PM