TUAH tidak akan berdiam diri walaupun akan menerima bantuan geran. FOTO NSTP
TUAH tidak akan berdiam diri walaupun akan menerima bantuan geran. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perjuangan menuntut hak dan keadilan perlu diteruskan walaupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) meluluskan geran bantuan kepada seramai 147 bekas pemain daripada lima pasukan yang sudah tutup di negara ini.

Bekas pemain Hanelang FC Tuah Iskandar berkata, dia bersama beberapa bekas pemain lain tetap meneruskan tindakan undang-undang supaya individu bertanggungjawab menyebabkan mereka hilang punca pendapatan tiga tahun lalu mendapat pengadilan sewajarnya.

Tuah berkata, setakat ini pemberian geran bantuan itu tidak dijelaskan secara lebih lanjut dan akan menunggu perkembangan berita menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Berkaitan pemberian bantuan geran itu, saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana tidak mengetahui kaedah penyerahan sama ada menerusi persatuan (FAM dan PFAM) atau terus kepada pemain.

"Apa yang boleh saya katakan, kami tidak akan berdiam diri walaupun akan menerima bantuan geran itu kerana tindakan sewajarnya perlu diambil kepada individu berkenaan.

"Pada masa sama, saya juga tidak mahu ada pasukan lain mengambil kesempatan iaitu tidak bayar gaji pemain dengan mengharapkan Fifa pula menyelesaikan masalah berkenaan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, bekas pemain Terengganu FC yang dikenali sebagai Hassan memaklumkan bahawa pemberian geran itu meringankan beban bekas pemain yang ada antaranya masih lagi berhadapan masalah kewangan kerana hilang punca pendapatan.

"Selepas hampir tiga tahun, akhirnya ada juga bantuan kewangan yang diterima namun sedihnya pihak luar pula dilihat membayar hutang berkenaan.

"Saya berharap FAM dapat meneruskan usaha mengambil tindakan kepada pemilik pasukan yang didapati sengaja tidak membayar gaji pemain supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Sebelum itu, FAM memaklumkan bahawa Fifa meluluskan geran bantuan kepada seramai 147 bekas pemain daripada lima pasukan yang sudah tutup di negara ini. Setiap pemain berkenaan layak menerima geran bantuan di antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang.

Ia menerusi program 'FIFA Fund for Football Players' atau lebih dikenali sebagai Fifa FFP yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama Fifa dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

Lebih 1,000 orang pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggota Fifa diluluskan permohonan mereka termasuk 147 permohonan dari Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 9:58 PM